
Bermula dari kita mahu melelapkan mata pada waktu malam, jika kita niatkan kerana Allah swt, maka kita diberikan ganjaran pahala. Apabila kita bangun dari tidur, kita ucapkan Alhamdulillah, maka kita akan diberikan ganjaran pahal. Kita bergerak ke masjid, kita solat subuh kerana Allah swt, maka kita diberikan lagi ganjaran pahal.
Kita keluar bekerja mencari nafkah kerana Allah, maka kita diberikan ganjaran pahala. Kita dengar ilmu, kita sebarkan ia kerana Allah swt, dan apa sahaja yang kita lakukan dalam kehidupan kita, jika kita letakkan kerana Allah swt, maka keseluruhan hidup kita kita, zahir dan batinya kerana Allah swt.
Kita menikmati kehidupan dengan nikmat makan dan minum, dengan nikmat tidur dan bangun , dengan nikmat diberikan Allah swt bagi memudahkan kita melaksanakan tugas kita sebagai suami, isteri, anak-anak, pegawai kerajaan, dan apa sahaja kerja yang kita buat dalam kehidupan, jika kita niatkan ia kerana Allah swt, insya Allah kita akan mendapat pahala yang berterusan di sisi Allah swt.
Namun, bagi memastikan kita sentiasa kekal dalam niat atas egala perbuatan kita itu kerana Allah, kita perlu bermujahadah terutamanya bagi memastikan hati tidak cenderung kepada hawa nafsu yang akan menjauhkan kita daripada Allah swt. Sememangnya sudah menajdi sifat hakiki hati manusia yang sering berubah-ubah. Ini sesuai dengan apa yang disebut dalam hadith Nabi Muhammad saw:
Terjehamannya,
Sesungguhnya hati anak Adam lebih cepat berubah (berbolak-balik) sebagaimana mudahnya berbolak – balik air yang sedang panas di dalam kendi.
(Direkodkan oleh Imam Ibni Abi Asim, di dalam Sunnah Ibni Abi Asim)
Air yang panas akan bergerak ke kiri ke kanan, atas dan bawah tanpa putus-putus. Begitu jugalah sifat hati kita manusia yang mudah berubah-ubah. Sifat hati kita yang sering berubah-ubah inilah yang menyebabkan kita boleh sahaja kekal dalam iman dan niat kerana Allah swt pada waktu pagi, tetapi pada wkatu petang kita kufur kepada Allah swt.
Oleh sebab itu, bagi memastikan hati kita sentiada kekal dengan kalimah Lailahaillahallah, maka kita disyorkan untuk sentiasa berdoa:
“Ya Allah Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku pada agama-Mu”
(Direkodkan oelh Imam Tirmizi, dalam Sunan Tirmizi, Abwabu Al-Qadar)
*Petikan daripada Buku “Kerana Dakwah Bukan Sekadar Kata-Kata- Nik Omar Nik Abd Aziz”