Dewan Selangor | Penemuan sejumlah wang bernilai jutaan ringgit di sebuah safe house melahirkan rasa kekecewaan kepada Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Abbas Azmi. Katanya ketika berbahas di Dewan Negeri Selangor melalui Belanjawan Selangor 2025, Abbas berkata penahanan pegawai kanan Menteri Besar Incorporation(MBI) itu harus diteruskan dengan proses siasatan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) sehingga dibawa ke muka pengadilan jika mendapat bukti yang mencukupi.
Katanya, tiada sesiapa pun termasuk anggota di dalam Dewan Negeri Selangor ini terlepas daripada tindakan undang-undang apabila melibatkan soal amanah. Abbas turut berkata, belanjawan Selangor 2025 ini meskipun lebih kecil berbanding wilayah Sarawak, namun yang lebih utama adalah pentadbiran telus dalam perbelajaan dan mengelakkan ketirisan serta salah guna kuasa dalam menguruskan belanjawan ini.
Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor itu turut menyentuh isu kebajikan yang menjadi salah satu agenda utama Kerajaan Negeri Selangor. Katanya, penerusan Program Iltizam Selangor penyayang amat dihargai memandangkan ia banyak memberikan manfaat buat rakyat Selangor.
Program Jualan Ehsan Rakyat(JER) misalnya, meskipun tidak diadakan setiap hari, namun ia memberi peluang kepada masyarakat membeli barang keperluan dibawah harga pasaran. Melalui BINGKAS, SMUE dan Peduli SIhat, ia amat membantu rakyat menguruskan kehidupan. Abbas memohon pertimbangan Kerajaan Negeri jika kuota penerima semua bantuan ini diperluaskan demi memberikan kebajikan kepada rakyat semaksimum mungkin.
Abbas juga berkesempatan mengucapkan terima kasih kepada Exco Agama Islam Selangor, Dr. Fahmi Ngah dan Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) atas kesediaan proses pembinaan Masjid Lestari Putra akan dimulakan kelak. – SelangorToday