 
                SHAH ALAM, 6 Julai 2025 – Himpunan “Turun Anwar” anjuran Dewan Pemuda PAS Selangor di Shah Alam hari ini menerima tamparan hebat apabila kehadiran peserta dikatakan jauh lebih rendah daripada yang didakwa penganjur.
Ketua Pemuda AMANAH Selangor, YB Tuan Danial Al Rashid menyifatkan perhimpunan tersebut sebagai “gaung bunyi, kosong isi”, apabila hanya sekitar 100 orang dilaporkan hadir berbanding angka lebih 1,000 yang digembar-gemburkan oleh penganjur.
“Mereka cuba tampil gah dengan angka, tetapi realitinya sangat memalukan. Himpunan ini diadakan di Shah Alam — kubu kuat Ketua Pemuda PAS Selangor sendiri — namun rakyat tidak menyambutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketiadaan Solidariti Nasional Pemuda PAS
Danial turut mempersoalkan ketiadaan sokongan dari Pemuda PAS negeri lain, menyifatkannya sebagai satu isyarat dalaman yang menunjukkan keretakan dan mungkin boikot senyap menjelang pemilihan parti.
“Di mana Pemuda PAS yang lain? Adakah ini petanda bahawa ahli akar umbi PAS sendiri sudah muak dengan pendekatan politik konfrontasi yang lapuk dan tidak lagi relevan?” soal beliau.
Shah Alam Tolak Politik Kebencian
Pemilihan Shah Alam sebagai lokasi himpunan, menurut Danial, menunjukkan betapa terasingnya agenda politik ekstrem dari denyut nadi rakyat Selangor.
“Shah Alam bukan medan gimik. Ia adalah kota yang menghargai kestabilan dan kemajuan. Sambutan lesu ini memperlihatkan kegagalan Ketua Pemuda PAS Selangor membina keyakinan walaupun di kawasan yang beliau sendiri bakal tandingi — DUN Kota Anggerik,” ujarnya.

PMX Terus Pimpin Kejayaan, Lawan Terus Menurun
Tambah beliau lagi, rakyat semakin memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang terbukti membawa negara ke hadapan menerusi dasar ekonomi dan sosial yang berani serta berkesan.
“Menjerit ‘Turun Anwar’ tidak membawa apa-apa makna jika mereka sendiri tidak berani membawa usul undi tidak percaya di Parlimen. Mereka tahu angka tidak memihak kepada mereka,” katanya.
Penolakan Rakyat Terhadap Politik Lapuk
Mengakhiri kenyataan, Danial menegaskan bahawa kegagalan himpunan ini mencerminkan kebangkitan kesedaran politik rakyat Malaysia yang semakin matang.
“Himpunan ini bukan sahaja gagal mencapai objektif, malah mencalar kredibiliti Ketua Pemuda PAS Selangor sendiri. Rakyat sudah muak dengan politik kebencian dan ketandusan idea,” tegas beliau.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            