
Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof dan Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Abbas Azmi merakamkan ucapan takziah yang setulus hati atas pemergian Mantan Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Dato’ Seri Utama Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara hari ini.
Dalam kenyataan berasingan, kedua-dua pemimpin AMANAH Selangor itu menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat negara, khususnya dalam mengenang jasa beliau sebagai seorang tokoh negarawan berwibawa yang banyak menyumbang kepada kemajuan negara.

Hj Azli Yusof yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor berkata, Allahyarham telah meletakkan asas kukuh dalam memperkasa tadbir urus kerajaan dan mengangkat nilai-nilai Islam progresif menerusi pendekatan Islam Hadhari. Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keperibadian Allahyarham yang tenang, berhemah dan bijaksana dalam memupuk perpaduan dalam masyarakat majmuk.
Sementara itu, Abbas Azmi yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat yang disegani dan telah memacu pembangunan negara dengan penekanan kepada tadbir urus baik dan keharmonian kaum.

Kedua-dua mereka turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin serta mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.