SelangorToday

HJ AZLI HARGAI KESEDIAAN KERAJAAN TERUSKAN PEMBINAAN STESEN LRT3 DI SHAH ALAM/KLANG

Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof memberikan penghargaan kepada kerajaan persekutuan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keputusan kerajaan untuk meneruskan pembinaan lima stesen Transit Aliran Rintangan 3(LRT3) yang sebelum ini ditangguhkan. Jelas Hj Azli, pengumuman itu jelas memberikan kebaikan dan kelebihan kepada penduduk sekitar Shah Alam dan Klang. Kesediaan kerajaan itu memudahkan masyarakat setempat mendapat akses yang lebih kepada pengangkutan awam.

Tambah Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu lagi, contohnya di Stesen Raja Muda akan ditempatkan berdekatan dengan mereka yang tinggal di Seksyen 6 dan Seksyen 2. Manakala Stesen Bukit Raja akan lebih dekat dengan mereka yang menginap di Seksyen 7(Barat) dan I-City. Beliau turut berkata, kebolehcapaian yang lebih baik juga akan memberikan manfaat kepada penduduk yang selalu berulang-alik untuk bekerja di kawasan perindustrian Seksyen 16 dan Bukit Raja sekali gus mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

Hj Azli mengharapkan langkah ini dapat menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas seiring pengurangan pelepasan karbon sebagai dasar utama bandaraya Shah Alam. Ada juga yang memberikan saranan agar penambahan jumlah tempat letak kereta serta laluan bas ulang-alik yang cekap disediakan bagi memastikan penggunaan LRT3 yang berkesan dan maksimum. – SelangorToday

Exit mobile version