
Shah Alam, 22 Mei 2025 – Ahli Parlimen Shah Alam, YB Hj Azli Yusof, memuji inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melalui penubuhan Pusat Integrasi Sistem Pemantau Pintar (IRIS) yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh pengurusan bandar secara masa nyata (real time).
Dalam satu kenyataan selepas selesai menghadiri mesyuarat rasmi, Hj Azli sempat melawat pusat IRIS dan menzahirkan keyakinannya terhadap pendekatan teknologi yang diambil MBSA bagi menangani cabaran pembangunan bandar yang semakin kompleks.

“Pusat IRIS ini berfungsi memantau pelbagai aspek pengurusan bandar seperti keselamatan, lalu lintas, banjir, kebersihan dan aduan penduduk secara bersepadu. Ia merupakan contoh jelas bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan kesejahteraan komuniti,” kata beliau.
Sistem IRIS dibangunkan MBSA bagi menyokong transformasi Shah Alam ke arah bandar pintar dan mampan. Dengan pemantauan data masa nyata, MBSA mampu bertindak lebih cepat terhadap insiden seperti kesesakan lalu lintas, kejadian banjir kilat, masalah kutipan sisa, dan isu keselamatan setempat.
Pusat kawalan IRIS beroperasi 24 jam dengan sokongan pelbagai jabatan teknikal MBSA, sekaligus mengurangkan tindak balas manual dan memendekkan masa penyelesaian aduan.

Selain itu, IRIS turut mengintegrasikan saluran maklum balas penduduk yang membolehkan warga Shah Alam menyalurkan aduan secara terus melalui aplikasi dan sistem berpusat — mempercepatkan proses siasatan dan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan.
Menurut Hj Azli, beliau dimaklumkan bahawa MBSA sentiasa komited untuk menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan mereka agar lebih responsif terhadap keperluan rakyat.
“Shah Alam merupakan bandar raya yang pesat membangun, dan penggunaan sistem seperti IRIS adalah langkah tepat ke arah pengurusan bandar moden yang berpaksikan data, kecekapan, dan kepedulian,” tambah beliau.
Beliau juga menyeru agar warga Shah Alam terus memainkan peranan aktif dengan memberi maklum balas dan kerjasama kepada pihak MBSA.
“Suara dan keprihatinan anda amat penting demi manfaat dan kepentingan bersama,” ujarnya.
Sistem IRIS bukan sahaja menjadi simbol kemajuan teknologi pentadbiran tempatan, malah dijangka menjadi model rujukan kepada PBT lain di Selangor dan seluruh negara yang mahu mendepani cabaran urbanisasi dengan pendekatan pintar dan berkesan.