SelangorToday

HJ AZLI TEPIS DAKWAAN PN TAWAN KUALA KUBU BARU,AMALAN NEO-KHAWARIJ PAS AKAN DITOLAK

Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, Hj Azli Yusof menepis dakwaan Perikatan Nasional(PN) bahawa mereka akan menawan Kuala Kubu Baru melalui Pilihan Raya Kecil yang bakal diadakan. Kata Hj Azli, dakwaan PN melalui Ketua Pemuda PAS Selangor itu merupakan satu angan-angan buat mereka. Dalam keadaan sokongan melayu dianggap memuncak pada Pilihan Raya Negeri Selangor Ogos 2023 lalu pun, PN gagal merampas kerusi-kerusi untuk membentuk kerajaan negeri. Malah kerusi yang dianggap sama dengan Kuala Kubu Baru juga gagal ditawan oleh PN sedangkan ketika itu, kerajaan persekutuan dipimpin oleh PN menjadi seteru kerajaan negeri di bawah HARAPAN.

Berbeza dengan hari ini, kerajaan persekutuan dipimpin oleh PERPADUAN yang dianggotai oleh HARAPAN dan Barisan Nasional serta parti politik Sabah dan Sarawak yang telah mengubah haluan pengundi untuk menyokong PERPADUAN melalui calon HARAPAN.  Ahli Parlimen Shah Alam itu juga menambah, di Selangor juga buat pertama kali HARAPAN dan BN bergabung dalam satu kerajaan yang sama telah membina satu pendekatan politik yang lebih sederhana dan tertumpu kepada pembangunan dan kebajikan rakyat. Pastinya pengundi Kuala Kubu Baru memilih calon HARAPAN untuk memperoleh pelbagai kemudahan dan bantuan melalui kerajaan negeri.

Mengulas sokongan pengundi melayu, Ketua AMANAH Shah Alam itu berpandangan pengundi melayu telah mula sedar akan keupayaan pimpinan PN. Rakyat mula menyedari akan momokan dan dakwaan palsu yang sering dimainkan oleh pihak pembangkang kononnya Islam terancam dan melayu tertindas. Sedangkan itu semua merupakan permainan persepsi pembangkang demi mendapatkan undi melayu. Hakikatnya pengundi melayu kini sudah mula menilai secara objektif dan rasional kepada siapa sokongan mereka harus diberikan. Tumpuan mereka bukan lagi tersangkut atas naratif yang dimainkan di media sosial semata-mata sebaliknya kewibawaan, keupayaan dan tanggungjawab pimpinan dalam menangani segala perihal rakyat. Hj Azli yakin pemahaman neo-khawarij yang dimainkan khususnya PAS akan ditolak sepenuhnya oleh rakyat dalam PRK Kuala Kubu Baru nanti. – SelangorToday

Exit mobile version