Buat julung kalinya, Sekolah Kebangsaan Bukit Kuda (S’kuda), Klang telah menganjurkan Pesta Menuai Padi sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai proses penghasilan makanan ruji negara, iaitu beras.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, YB Tuan Hj Azli Yusof, yang turut menyatakan rasa bangga dan sokongan penuh terhadap usaha pihak sekolah melaksanakan aktiviti pertanian di kawasan bandar.

“Saya amat teruja melihat bagaimana SK Bukit Kuda berjaya melaksanakan program yang begitu unik ini, bermula dari menyemai benih padi sehinggalah kepada proses menuai, membanting, menampi dan menghasilkan beras. Ini merupakan satu pengalaman yang jarang dapat dilihat di sekolah-sekolah bandar,” ujar beliau semasa ucapan perasmian.
YB Hj Azli turut mencadangkan agar pihak sekolah mempertimbangkan untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke kawasan jelapang padi di luar bandar. Menurut beliau, lawatan sebegitu dapat memberi pendedahan lebih luas kepada pelajar mengenai teknologi moden dan automasi yang kini digunakan secara meluas dalam sektor pertanian.
“Inisiatif seperti ini penting untuk mendidik generasi muda agar memahami jerih perih para petani serta menghargai usaha kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan untuk rakyat Malaysia,” tambah beliau.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional turut merakamkan penghargaan kepada barisan guru, pelajar serta pihak pengurusan sekolah yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini. Menurut beliau, pendekatan pendidikan luar bilik darjah seperti ini sangat berkesan dalam membentuk pemahaman menyeluruh tentang rantaian penghasilan makanan negara.
Pesta Menuai Padi anjuran SK Bukit Kuda ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pengayaan kokurikulum yang juga selari dengan aspirasi pendidikan negara dalam memperkukuh kemahiran insaniah, daya tahan serta kepekaan pelajar terhadap isu-isu semasa termasuk keselamatan makanan.