SelangorToday

HJ HADI MENGHINA PERJUANGAN SALAHUDDIN AYUB – MAHFUZ

Naib Presiden AMANAH, Hj Mahfuz bin Omar membidas tindakan Presiden PAS, Hj Abdul Hadi Awang yang mendakwa tokoh-tokoh AMANAH yang meninggalkan PAS satu ketika dahulu sebagai lemah kepada perjuangan. Bagi Mahfuz, apakah rasionalnya seorang Presiden Parti berteraskan Islam, membuat tuduhan tersebut dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. Hal ini demikian kerana, kempen PRK ini diadakan bagi memberikan penerangan kepada pengundi agenda dan matlamat yang ingin dibawah oleh calon-calon serta parti yang diwakili oleh calon. Namun Hj Hadi membuat dakwaan yang tidak ada kena-mengena dengan PRK kali ini.

Mengulas dakwaan Hj Hadi, Pengerusi HARAPAN Kedah itu berkata, Hj Hadi seolah-olah menghina Salahuddin Ayub yang telah pergi menemui Ilahi. Kata Mahfuz, Salahuddin antara tokoh PAS yang meninggalkan PAS dan menubuhkan AMANAH. Jika Hj Hadi mendakwa mereka yang meninggalkan PAS adalah mereka yang lemah dan takut kepada kekalahan, ini bererti Ahli Parlimen Marang itu telah menghina Salahuddin Ayub dan perjuangannya. Dengan Tindakan Salahuddin Ayub menubuhkan AMANAH serta berjaya dipilih sebagai Menteri Pertanian dan Menteri Kos Sara hidup, ia mampu membantu seberapa banyak rakyat yang susah dalam Agenda RAHMAH yang diperkenalkan. Dengan perjuangan Salahuddin Ayub itu, ramai pihak sama-sama berganding bahu membantu rakyat yang susah. Sebaliknya Hj Hadi menghina perjuangan yang dibawa oleh Salahuddin.

Sepatutnya Hj Hadi memberikan sedekah Al-Fatihah kepada Salahuddin dan bukannya menghina pihak-pihak yang meninggalkan PAS sebagai lemah semangat dan takut kalah yang pastinya menyebabkan tuduhan itu terpalit sama kepada Salahuddin. Maka Mahfuz menyeru pengundi di Johor yang faham tatasusila dan keharmonian Johor agar menolak parti yang suka mengadu-domba dan ekstrem dalam berpolitik. Bibit ketidakharmonian akan wujud di Johor jika PN diberikan kemenangan dalam PRK kali ini. –Selangor Today

Exit mobile version