SelangorToday

HJ MAZWAN BIDAS SIKAP HIPOKRASI PAS DALAM ISU PENYELARAS DUN

Penyelaras DUN Sungai Ramal, Hj Mazwan Johar membidas sikap tidak konsisten pimpinan PAS berhubung isu pelantikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan pembangkang, khususnya di Selangor.

Menurut Hj Mazwan, tindakan PAS mempertikaikan pelantikan Penyelaras DUN oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah bersifat hipokrit, memandangkan perkara yang sama turut diamalkan di negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS seperti Kelantan.

“Di Selangor dipanggil Penyelaras DUN, di Kelantan dipanggil Penyelia DUN. Tapi tanggungjawabnya tetap sama — mewakili kerajaan negeri di kawasan yang dimenangi pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau turut memberi contoh DUN Kota Lama di Kelantan yang dimenangi Pakatan Harapan, namun calon PAS yang kalah tetap dilantik sebagai Penyelia DUN untuk menyampaikan segala inisiatif kerajaan negeri kepada penduduk setempat.

“Kalau di Kelantan boleh, kenapa pula di Selangor dijadikan isu? Janganlah double standard,” tegas beliau.

Hj Mazwan juga menekankan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menafikan hak ADUN pembangkang. Sebaliknya, ADUN pembangkang di DUN Sungai Ramal tetap menerima peruntukan tahunan sebanyak RM400,000 daripada kerajaan negeri.

Tambah beliau, adalah tidak munasabah untuk mengharapkan parti pembangkang menyebarkan kebaikan atau program Kerajaan Negeri Selangor, memandangkan mereka sendiri pernah menyekat bantuan banjir hanya kerana alasan politik.

“Inisiatif kerajaan negeri adalah produk Kerajaan Perpaduan. Takkan kita nak harap parti lawan yang sampaikan semua itu?” katanya.

Kenyataan ini hadir susulan dakwaan sesetengah pihak bahawa pelantikan Penyelaras DUN di kawasan pembangkang di Selangor adalah cubaan mengambil alih peranan ADUN sedia ada.

Exit mobile version