SelangorToday

HOKI, BADMINTON BERERGU CAMPURAN DIGUGURKAN DARI PROGRAM ROAD TO GOAL

Program Road to Gold (RTG) hari ini mengumumkan pengguguran atlet daripada program itu, termasuk pasukan hoki lelaki kebangsaan yang gagal mencapai sasaran pingat emas yang mereka sendiri tetapkan di Sukan Asia Hangzhou 2022.

Mesyuarat Jawatankuasa RTG ketiga yang berlangsung hari ini turut memutuskan untuk menggugurkan atlet badminton, pasangan beregu campuran persendirian Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, selepas penilaian semula terhadap prestasi mereka.

Kedua-dua pasangan itu kini terkeluar daripada ranking kelayakan ke Paris dengan Soon Huat-Shevon berkedudukan ke-16 dunia, manakala Kian Meng-Pei Jing, ke-24.

Penyelaras program RTG Datuk Stuart Ramalingam berkata keputusan tersebut terpaksa dilakukan, disebabkan prestsi buruk pemain badminton tersebut, tetapi berharap tindakan itu akan memotivasikan mereka untuk pada kelayakan dan pertandingan yang mereka sertai untuk layak ke Paris.

“Penyenaraian pasukan hoki negara dibuat selepas mereka menduduki ranking kesembilan dunia, namun kini ranking mereka telah jatuh ke-12 dan gagal untuk memenangi pingat emas Sukan Asia, yang menawarkan kelayakan terus ke Paris.

“Jawatankuasa RTG bersetuju untuk menyenaraikan semula pasukan hoki negara, jika prestasi mereka melepasi jangkaan dan layak ke Sukan Olimpik pada kejohanan kelayakan selepas ini, iaitu sama ada di Muscat, Oman (15-21 Jan) atau di Valencia, Sepanyol (13-21 Jan), tahun depan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, kemasukan ke program itu kali ini hanya melibatkan atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan, yang kini berkedudukan ke-10 Ranking Kelayaka Olimpik.

“Aniq baru berusia 21 tahun, kami melihat beliau berpotensi besar untuk memperbaiki angkatan peribadinya pada 291 kilogram,” katanya.

Jawatankuasa itu memutuskan untuk tidak menyenaraikan atlet terjun lelaki Bertrand Rhodict Lises dan penembak Johnathan Wong, yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris ke dalam RTG, namun akan membantu mereka menerusi Skim Insentif Sukan Olimpik (SISO), selain meneruskan sokongan menerusi Program Podium sedia ada.

-BERNAMA

Exit mobile version