 
                Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, dijangka mencatatkan kehadiran lebih 500,000 pengunjung, menjadikan sambutan Jubli Emas ke-50 tahun ini sebagai yang paling meriah dalam sejarah penganjurannya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, melahirkan rasa syukur dapat meraikan detik bersejarah ini bersama rakyat Sabah, sambil menzahirkan penghargaan kepada para peladang, penternak dan nelayan yang menjadi tulang belakang sektor agromakanan negara.

“Tema tahun ini, Kudrat Kami Menjamin Pertiwi, adalah penghormatan kepada wira makanan negara yang saban hari memastikan makanan terus sampai ke pinggan rakyat,” ujar beliau ketika menyempurnakan majlis penutupan semalam.
Menurut Mohamad, setakat hari kedua, HPPNK 2025 telah mencatat lebih 300,000 pengunjung dan nilai jualan mencecah RM7.6 juta, dengan keyakinan bahawa sasaran RM15 juta jualan keseluruhan mampu dicapai menjelang hari terakhir.
Lebih membanggakan, 14 dokumen strategik turut dimeterai, melibatkan nilai keseluruhan RM526 juta, membuktikan sektor agromakanan bukan sahaja masih relevan, malah semakin moden dan berdaya saing.
Kali terakhir HPPNK dianjurkan di Sabah adalah 30 tahun lalu, dan kepulangan semula ke negeri di bawah bayu ini disifatkan sebagai simbolik kepada penyatuan dan pengiktirafan nasional terhadap sumbangan rakyat Sabah dalam sektor makanan negara.

Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, kementerian, jabatan serta agensi terlibat, para usahawan, peserta pameran dan seluruh rakyat Malaysia yang hadir memeriahkan acara tersebut.
“HPPNK bukan sekadar pameran. Ia adalah pentas perjuangan untuk menjamin masa depan sektor makanan negara. Insya-Allah, perjuangan ini akan saya teruskan agar rakyat Malaysia terus cukup makan dan sektor ini terus dimajukan,” tegas beliau.
Sambutan HPPNK 2025 ini juga selari dengan agenda Malaysia MADANI yang mementingkan keterjaminan makanan, kelestarian dan kesejahteraan hidup rakyat secara menyeluruh.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            