KUALA LUMPUR – Pandangan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker terhadap Pas adalah tidak tepat serta tidak berasaskan fakta dan rekod sebenar parti itu, tegas Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
Menurut Idris, sebagai seorang ahli politik senior dan pengamal undang-undang yang berkelulusan dari universiti tempatan, Lian Ker seharusnya lebih berhati-hati serta berpandukan fakta ketika mengulas mengenai Pas.
“Sebagai seorang pengamal undang-undang, penulisan dan kenyataan beliau (Lian Ker) seharusnya berasaskan fakta dan rekod, bukan sentimen dan emosi,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.
Idris berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Lian Ker yang berpandangan adalah lebih baik Pas berkuasa ketika ini kerana parti itu masih perlu bersikap pragmatik serta mengambil kira realiti kemajmukan negara.
Menurut Idris, hujah Lian Ker itu diperkukuhkan dengan dakwaan bahawa Pas berpotensi “membolot” undi kaum majoriti sekiranya berkuasa, sama seperti DAP yang didakwa menguasai hampir 90 peratus undi masyarakat Cina, sekali gus mendorong PAS terjun sepenuhnya ke dalam politik majoriti.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu menegaskan, politik berasaskan emosi serta dakwaan tidak berfakta semakin ditolak rakyat Malaysia, termasuk masyarakat Cina yang kini semakin matang dalam menilai realiti politik negara.
Beliau berkata, Pas mempunyai rekod pentadbiran yang panjang dan jelas, khususnya di Kelantan yang ditadbir parti itu sejak sekian lama.
“Pas memerintah Kelantan dari tahun 1959 hingga 1978 (19 tahun), dan seterusnya dari 1990 hingga ke hari ini. Ertinya, hampir 54 tahun pengalaman mentadbir,” katanya.
Menurut Idris, sekiranya Pas benar-benar sebuah parti radikal seperti yang sering didakwa, hubungan antara kaum di Kelantan tidak akan kekal aman dan harmoni seperti yang dapat dilihat hari ini.
“Hakikatnya, masyarakat Cina di Kelantan hidup bebas beragama, berniaga dan mengamalkan budaya mereka tanpa gangguan,” jelasnya.