
Salam sejahtera, salam Malaysia MADANI semua,
1. Saya mengambil maklum berkenaan penyebaran semula tulisan lama dari tahun 2024 di Facebook yang mengandungi tohmahan tidak benar tentang status Institut Jantung Negara (IJN). Untuk mengelakkan kekeliruan orang ramai, izinkan saya menjelaskan beberapa perkara yang berbangkit.
2. IJN ditubuhkan pada tahun 1984 dahulu di bawah KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM) dan telah dikorporatkan pada tahun 1992. Ia kini kekal sebagai sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan (MOF).
3. Perlu diingatkan bahawa IJN bukanlah satu-satunya pusat rawatan jantung dalam negara. Malah ia tidak pernah dimaksudkan untuk menjadi pusat jantung tunggal kita.

4. Kita ambil satu contoh mudah. Adakah praktikal untuk seorang pesakit jantung di Kudat atau Puncak Borneo untuk terbang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan jantung? Sudah tentu tidak, bukan?
5. Selari dengan rangka tindakan (blueprint) asal penjagaan jantung negara, Kerajaan Malaysia melalui KKM telah membangunkan 7 buah pusat jantung sedia ada di hospital kerajaan, manakala 2 lagi akan berfungsi tidak lama lagi:
- Hospital Idris Shah Serdang (Pusat Jantung Serdang)
- Pusat Jantung Sarawak, Kuching
- Pusat Jantung Negara Sabah / Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu
- Hospital Pulau Pinang
- Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu
- Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan
- Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru
- (sedang) Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang (kardiotorasik pediatrik)
- (sedang) Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak
6. Pembinaan rangkaian pusat jantung di seluruh negara ini adalah penting bagi memastikan rawatan untuk sakit jantung lebih mudah diakses oleh rakyat, bukan untuk menyusahkan pesakit dengan perjalanan jauh ke Kuala Lumpur. Ini disebut oleh Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad sebagai ‘closer to home, closer to community’.
7. Fungsi IJN sebagai pusat kecemerlangan (centre of excellence) kekal, iaitu menjadi pusat latihan dan perkhidmatan klinikal termaju (advance clinical services) untuk bidang jantung. Malah, latihan untuk kursus kardiotorasik UiTM dan beberapa bidang lain turut dijalankan di IJN. Malah IJN College juga wujud sebagai institusi pendidikan dan latihan rasmi pada hari ini.
8. Sebagai langkah tambahan, pakar-pakar dari Pusat Jantung Serdang akan turut melakukan lawatan berkala ke pusat-pusat jantung lain di seluruh negara bagi memastikan rakyat boleh mengakses kepakaran mereka. Ini juga penting untuk memastikan doktor-doktor boleh menjalani latihan di bawah tunjuk ajar dan pengawasan pakar-pakar ini.

9. Orang awam termasuk pesara kerajaan akan tetap menerima rawatan terbaik di pusat jantung berhampiran, dan bukan terhad di IJN semata-mata. Hanya kes-kes yang rumit (atau kompleks) – contohnya yang memerlukan penggunaan teknologi canggih yang tidak boleh disediakan di pusat-pusat jantung lain – akan dirujuk ke Pusat Jantung Serdang atau IJN. Namun ini memerlukan surat rujukan pakar setelah penelitian yang begitu teliti.
10. Setelah mendapat rawatan yang diperlukan, pesakit akan dipindahkan untuk penjagaan (stepped down) ke pusat jantung yang paling hampir dengan rumah mereka. Selain konsultasi di situ, konsultasi tambahan masih boleh diteruskan secara maya atau menerusi litar lawatan pakar-pakar yang disebutkan tadi.
11. Berkenaan penggunaan ubat generik pula, telah dijelaskan melalui kenyataan media KKM bertarikh 8 November 2024 bahawa Dasar Ubat Generik di bawah Dasar Ubat Nasional (DUNas) telah menetapkan sejak tahun 2006 bahawa ubat generik harus digunakan melainkan tiada alternatif lain.
12. Ini bukan polisi baharu. Sebarang tohmahan sebaliknya adalah menyalahi fakta. Segala dokumen ada dalam talian, hanya perlu cari sahaja.

13. Merujuk kepada tulisan asal di Facebook, retorik-retorik agama dan bangsa seperti berikut memang sedap didengar walaupun sebenarnya adalah fitnah:
- Pesara kerajaan dan penjawat awam dizalimi kerana tidak lagi dirujuk ke IJN untuk kes-kes jantung
- Penghapusan hak bangsa melayu dan bumiputera
- Kerajaan Madani boleh berjimat selain melibatkan kebajikan kesihatan dan nyawa penjawat awam
- Soal ketuanan dan hak bangsa [Melayu] sedang dicabul
- Soal penghapusan sedikit demi sedikit hak dan keistimewaan orang [Melayu] dan rakyat [Malaysia] amnya
- Apa lagi kelebihan yang tinggal untuk penjawat awam selain [klinik-klinik] kampung dan hospital yang keupayaannya terhad
- Menteri Kesihatan […] akan menunggu setiap 33 juta rakyat malaysia [di akhirat] nanti untuk dipersoalkan […] bertindak melebihi Si Kitol dan Mendeliar pengkhianat bangsa
14. Segala rancangan, dasar dan pelaksanaan semasa adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penjagaan jantung. Langsung tiada kena-menhena dengan penghapusan hak bangsa Melayu dan bumiputera. Oleh itu, saya tanya kembali:
- Apa salahnya strategi penjagaan jantung sedia ada?
- Adakah sekiranya ibu bapa kalian sakit jantung, mahu diusung dari Gerik atau Belaga ke IJN?
- Siapa mahu tanggung kos perjalanan?
- Cukup gagahkah pesakit itu untuk naik kapal terbang atau berjam-jam di lebuh raya ke Kuala Lumpur?
- Atau lebih afdal dirawat di pusat jantung terdekat?
- Dan, ada tak sebarang dasar yang kata hanya Melayu dan bumiputera yang tidak boleh dirujuk ke IJN? Atau bumiputera hanya boleh ke klinik dan tak boleh ke hospital?
15. Untuk rakan-rakan yang sebaya dengan saya, mudah-mudahan kita tidak perlu pun dirujuk ke mana-mana pusat jantung, hatta mana-mana hospital sekalipun. Ayuh kita jaga diri supaya kekal sihat.

16. Namun begitu, jika kita atau ahli keluarga kita memerlukan penjagaan jantung, ketahuilah bahawa rangka tindakan asal memang memperuntukkan pembinaan pusat-pusat jantung di seluruh negara ini, yang kini direalisasikan di bawah pimpinan Dr Dzul dan disokong oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
17. Malah pada tahun 2024 juga, RM152.4 juta diperuntukkan untuk latihan kepakaran, iaitu lebih 2 kali ganda daripada peruntukan tahun 2019-2023 (purata RM70 juta setahun), termasuklah untuk bidang jantung. Kalau sudah bina pusat jantung, tentulah perlu lahirkan lebih ramai pakar jantung.
18. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu menilai maklumat dengan bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas. KKM komited untuk terus memperkukuh sistem kesihatan demi kesejahteraan rakyat.
Terima kasih kerana membaca sampai habis.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kesihatan