 
                KOTA BHARU, 10 Ogos — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sentiasa menghargai peranan ulama dan institusi pondok dalam membina tamadun bangsa, sekali gus menganggapnya sebagai teras kekuatan negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ijtimak MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan yang dianjurkan bersama oleh Akademi NUNJI pimpinan Dr. Mujahid Yusof Rawa, YADIM dan UiTM yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan pada 9 dan 10 Ogos.

Acara bersejarah itu menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta termasuk ulama, guru pondok, pelajar dan masyarakat setempat, dan meluluskan tujuh resolusi penting yang disifatkan sebagai hala tuju baharu bagi memartabatkan Islam serta mengarusperdanakan pendidikan pondok di negara ini.
“Ulama bukan sekadar waris para nabi dalam menyampaikan ilmu, tetapi juga penjaga amanah nilai dan moral masyarakat. Hubungan erat antara ulamak dan umarak adalah kunci kestabilan serta kemajuan negara,” kata Anwar dalam ucapannya.
Tujuh resolusi yang dipersetujui ialah:
- Memartabatkan Islam dan Tradisi Ilmu — Mengekalkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah berteraskan manhaj al-Asyairah dan al-Maturidiyah sebagai asas rujukan pendidikan dan pentadbiran agama Islam di Malaysia.
- Pengiktirafan Sistem Pondok — Mengiktiraf sistem pondok berteraskan manhaj turath sebagai model pendidikan yang diarusperdanakan selari dengan dasar pendidikan nasional.
- Penghormatan Peranan Ulama Pondok — Menyanjung peranan ulama pondok dan ulama tempatan bukan sahaja sebagai pendidik, tetapi juga sebagai pembimbing kerohanian umat, dengan peranan lebih besar dalam pembangunan dasar agama dan pendidikan negara.
- Platform Rasmi Hubungan Pondok dan Kerajaan — Membentuk platform rasmi yang menghubungkan institusi pondok di Kelantan dengan kerajaan Persekutuan, bagi memastikan penggerak pondok dilibatkan secara langsung dalam menentukan dasar pembangunan institusi pondok.
- Sokongan Menyeluruh kepada Institusi Pondok — Menyeru kerajaan menyediakan prasarana, infrastruktur dan sumber kewangan yang mampan tanpa mengubah manhaj serta sistem pendidikan turath.
- Pengukuhan Peranan Ulama dalam Pembangunan Negara — Meningkatkan peranan ulama dan guru pondok melalui pendekatan Ulamak dan Umarak (UMRAN) sebagai benteng menghadapi ancaman fahaman ekstrem (ghuluw fi addin), longgar (tasahul fi addin) dan sesat (dhallin, mudhillin).
- Penglibatan Pondok dalam Dasar MADANI — Memastikan institusi pondok dilibatkan dalam pelaksanaan dasar MADANI agar asas syariat dipelihara sepenuhnya.

Pengerusi Akademi NUNJI, Dr. Mujahid Yusof Rawa, dalam ucapan penutupnya menyifatkan resolusi itu sebagai komitmen kolektif untuk menjadikan ulama pondok sebahagian daripada pembuat dasar negara.
“Institusi pondok adalah benteng akidah dan identiti ummah. Melibatkan mereka dalam perancangan dasar bukan pilihan, tetapi satu keperluan demi kestabilan agama dan negara,” katanya.
Ijtimak dua hari itu menjadi platform penyatuan suara ulama dan guru pondok di seluruh Kelantan, sekaligus memperkukuh hubungan antara tradisi keilmuan Islam dengan agenda pembangunan negara.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            