SelangorToday

IKHLASKAH PAS MENYERU KEPADA KEHARMONIAN KAUM, SOAL ABBAS

Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Abbas Adzmi Dato Salimmi mempersoalkan keikhlasan PAS dalam menyeru kepada keamanan dan keharmonian masyarakat setelah isu stokin tertera ‘Kalimah Allah’ menjadi hangat. Kata Abbas, kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor terkait isu stokin yang menyeru kepada keamanan dan keharmonian bukanlah sikap sebenar PAS. Hal ini demikian kerana, sebelum-sebelum ini apabila berlaku situasi yang melibatkan 3R, PAS sering mengeluarkan sikap kerasnya kepada situasi tersebut. Abbas memberi contoh, bagaimana PAS mempertikaikan keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) terhadap isu Nik Elin, malah PAS Selangor gagal menangani situasi tersebut dan mengambil langkah berdiam diri.

Selain itu, Abbas menambah wakil PAS di Dewan Negeri Selangor ada yang mempertikaikan hak ahli dewan dari kalangan bukan Islam berkenaan penggubalan enakmen yang melibatkan Jabatan Agama Islam walaupun enakmen tersebut tidak melibatkan hukum hakam Islam. Tiba-tiba setelah isu stokin menular, PAS menyeru kepada keharmonian sedangkan mereka bersikap keras terhadap situasi lalu. Sebelum ini PAS Selangor mengakui kebimbangan terhadap sensitiviti agama tetapi menegaskan bahawa keharmonian Malaysia mesti diutamakan dan dilindungi. Malay Mail memetik Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri berkata bahawa dia memahami kemarahan umat Islam di Malaysia berhubung isu stokin yang tertera ‘Kalimah Allah’, namun, katanya ia tidak seharusnya sehingga menjejaskan identiti pelbagai kaum negara ini.

Ahli Dewan Negeri Seri Serdang itu berpendapat,jika PAS ikhlas menyeru kepada keamana dan keharmonian, PAS wajib bersama kerajaan perpaduan dan memberi sokongan kepada Dato Menteri Besar Selangor. Ini kerana, Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh HARAPAN dan BN konsisten dalam mempertahankan dan menjaga keharmonian antara kaum dan agama khususnya di Selangor. Abbas menegaskan, PAS harus bersikap ikhlas dalam semua tindakannya. – SelangorToday

Exit mobile version