 
                Iklan raya Petronas arahan Allahyarham Yasmin Ahmad sering menyentuh hati saya dengan mesej perpaduan dan kemanusiaan. Salah satu yang paling diingati ialah iklan bertajuk “Ikan di Laut, Asam di Darat” yang mengisahkan persahabatan antara Raju dan Suparjo, dua anak kecil yang membesar bersama walaupun berlainan agama dan bangsa. Ungkapan yang menjadi tajuk iklan itu merujuk kepada perumpamaan bahawa perbezaan bukan penghalang untuk bertemu dan bersatu dalam satu ikatan yang lebih besar, persahabatan dan kemanusiaan.
Namun, melihat kepada suasana hari ini, semangat yang diangkat dalam iklan tersebut semakin diuji. Baru-baru ini, negara digemparkan dengan kontroversi melibatkan DJ sebuah radio tempatan yang dituduh menghina agama Hindu kerana sebuah tarian yang disalah tafsir. Insiden ini membangkitkan sentimen marah dalam kalangan penganut Hindu, dan malangnya, tindak balas yang menyusul membawa kepada siri hina-menghina antara masyarakat berbeza agama. Keadaan ini menunjukkan betapa mudahnya perpaduan kita tergugat oleh salah faham dan emosi yang tidak terkawal.

Sewajarnya kita mengambil ibrah daripada kisah Raju dan Suparjo dalam iklan raya tersebut. Mereka tidak melihat perbezaan sebagai tembok pemisah, sebaliknya sebagai warna yang mencantikkan hubungan mereka. Raju yang beragama Hindu dan Ahmad yang beragama Islam tidak pernah mempertikaikan kepercayaan masing-masing, sebaliknya mereka meraikan persahabatan dengan keikhlasan dan kasih sayang. Mereka berkongsi kegembiraan, bersedih bersama, dan menyayangi satu sama lain seperti saudara. Hubungan mereka bukan sekadar pertemanan, tetapi lambang cinta yang ikhlas antara manusia yang berbeza latar belakang.
Hakikatnya, Malaysia dibina atas prinsip kemajmukan, dan harmoni hanya dapat dicapai apabila kita memilih untuk memahami dan bukan sekadar bereaksi. Dalam insiden DJ Era, sepatutnya semua pihak meneliti terlebih dahulu niat dan konteks sebelum membuat tuduhan yang membawa perpecahan. Begitu juga dengan tindak balas daripada kedua-dua belah pihak, jika satu kesilapan kecil dijadikan alasan untuk melancarkan serangan balas yang lebih besar, keharmonian yang kita bina selama ini akan semakin rapuh. Kasih sayang dalam masyarakat bukan sesuatu yang berlaku secara automatik; ia perlu dibaja dengan kepercayaan, kejujuran, dan kesediaan untuk melihat ke dalam hati orang lain sebelum menilai mereka.

Menyingkap semula mesej “Ikan di Laut, Asam di Darat”, ia mengingatkan kita bahawa meskipun berasal dari latar belakang yang berbeza, kita tetap boleh bertemu dalam nilai-nilai bersama seperti hormat-menghormati, memahami dan bertolak ansur. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali (lita’aarafu). Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.”
Ayat ini menggariskan bahawa kepelbagaian bukan untuk memisahkan, tetapi untuk saling mengenali, memahami, dan menghormati antara satu sama lain. Persahabatan yang terjalin antara Raju dan Suparjo dalam iklan tersebut adalah simbol bahawa perpaduan bukan sesuatu yang mustahil, ia hanya menuntut kesedaran dan usaha bersama. Lebih daripada itu, ia menuntut rasa kasih dan sayang yang tulus, seperti hubungan adik-beradik yang tidak terputus walau diuji oleh kehidupan.

Di saat negara berhadapan dengan isu perkauman dan ketegangan agama, kita perlu kembali kepada asas, memahami sebelum menghukum, mendengar sebelum menyerang, dan berdamai sebelum bermusuhan. Jika Raju dan Ahmad boleh melihat keindahan dalam perbezaan, mengapa kita yang dewasa sukar melakukannya? Mengapa kita lebih mudah memilih kebencian daripada kasih sayang? Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi pilihan yang perlu dibuat setiap hari dalam tindakan dan pertuturan kita.
Kasih sayang adalah benih yang perlu ditanam dalam hati setiap rakyat Malaysia, kerana hanya dengan cinta dan empati, kita dapat membina negara yang damai dan sejahtera.
Mungkin sudah tiba masanya kita bertanya kepada diri sendiri: Adakah kita mahu membiarkan sentimen perbezaan terus memisahkan kita, atau kita mahu menjadi seperti ikan dan asam yang bertemu di dalam belanga – berbeza tetapi tetap harmoni? Jawapannya terletak di tangan kita sendiri.
Aishah Zain
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            