 
                SHAH ALAM, 19 Jun 2025 – Penyanyi rock terkenal era 1990-an, Rahmad bin Tohak, atau lebih dikenali sebagai Rahmad Mega, hari ini secara rasmi menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).
Beliau menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden AMANAH, Tuan Haji Mohamad Sabu, selepas mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang berlangsung di Wisma AMANAH, Kuala Lumpur.

Ikon Rock Malaysia
Rahmad Mega dikenali melalui vokal lantangnya dan karya-karya malar segar seperti “Takdir dan Waktu”, lagu yang melonjakkan nama kumpulan Mega ke persada arus perdana apabila dinobatkan sebagai Juara Lagu 1991.
Antara lagu-lagu popular lain nyanyian beliau bersama Mega termasuk “Bayangan Gurauan”, “Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara”, “Suara Cinta”, “Mega Cinta” dan “Nina Karina”.
Rahmad memulakan karier muziknya sebagai vokalis kumpulan Gerimis (1987–1990) sebelum menyertai Mega pada tahun 1991. Bersama Mega, beliau telah menerbitkan beberapa album studio yang mendapat sambutan hangat seperti Ilustrasi (1991), Rentak Kaki Lima (1993), dan Megalomania (1996).
Beliau juga pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza musim pertama pada tahun 2014 dan muncul sebagai finalis empat terbaik. Selain itu, Rahmad pernah menjayakan konsert berskala besar seperti “Gegar 5 Legenda” di Istana Budaya pada tahun 2013.

Penglibatan Dalam Masyarakat
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Rahmad lebih aktif menyampaikan mesej positif dan nilai kemanusiaan melalui karya-karya berunsur ketuhanan seperti lagu duet “Sajadah Kaabah” bersama mendiang komposer Indonesia, Deddy Dores.
Kemasukan beliau ke dalam Parti Amanah Negara menandakan satu lagi lembaran baru dalam kehidupan seninya – kali ini sebagai aktivis politik yang komited kepada nilai keadilan sosial dan dakwah yang progresif.
AMANAH menyambut baik penyertaan Rahmad dan menyifatkannya sebagai satu suntikan semangat baharu kepada usaha parti dalam mendekati rakyat melalui pendekatan seni dan budaya.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            