PARLIMEN, 5 Ogos – Dengan iltizam yang jelas untuk memperbaiki amalan pemakanan rakyat Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengumumkan pelaksanaan sistem penarafan makanan Nutri-Grade sebagai antara usaha utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan literasi pemakanan sihat, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Menerusi pendekatan Whole of Government, KKM komited menangani masalah pemakanan tidak seimbang yang melibatkan kekurangan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan produk tenusu. Dr. Dzulkefly menegaskan perlunya satu anjakan budaya dalam pilihan dan amalan pemakanan harian rakyat.

“Kita masih berdepan cabaran besar dari segi amalan dan budaya pemakanan sihat. Perlu ada perubahan dari segi amalan harian dan pilihan makanan rakyat,” ujar beliau selepas menghadiri Majlis Pemakanan Sihat Tanggungjawab Bersama di Parlimen, hari ini.
Melalui sistem Nutri-Grade, produk makanan akan diklasifikasikan daripada kategori A (terbaik) hingga D (paling tidak sihat). Sebagai langkah tegas, makanan dalam kategori D tidak akan dibenarkan untuk diiklankan, sejajar dengan matlamat memberi kesedaran dan panduan jelas kepada pengguna tentang pilihan makanan mereka.
Dalam memperkukuh agenda pemakanan sihat, KKM turut merancang untuk:
- Memperketat pelaksanaan logo Healthier Choice pada produk makanan,
- Menggerakkan peranan influencer dalam menyampaikan mesej gaya hidup sihat kepada khalayak, terutamanya generasi muda.
Langkah-langkah ini mencerminkan kesungguhan KKM dan kepimpinan Dr. Dzulkefly dalam memastikan agenda kesihatan awam diperkasa secara menyeluruh dan berkesan.