(Tulisan ini diulang tayang semula selepas ditulis dan dipublishkan oleh penulis pada 3 September 2021)
Dua tiga minggu ini, sama ada di media sosial mahupun media massa banyak membicarakan soal kelangsungan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam politik Malaysia. Penulis tidak pasti, sejak bila kedudukan AMANAH ini diperdebatkan, namun penulis perasan ia bermula apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) AMANAH Negeri Johor berpindah ke parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Walaupun perpindahan tiga ADUN ini ke dalam PKR adalah sejak 2020, namun ia diumumkan secara rasmi beberapa minggu yang lalu. Sejak pengumuman itu, pelbagai hujahan dan kritikan terhadap AMANAH dilemparkan. Sama ada ia mahu mengukuhkan AMANAH atau mahu memencilkan AMANAH dalam politik Malaysia, ia lebih banyak membicarakan soal sikap yang diamalkan oleh AMANAH dan jalan yang harus dipilih oleh AMANAH sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tiba.
Penulis mengambil maklum dan membaca segala rencana-rencana tersebut dan penulis akui bahawa persoalan diatas amatlah penting untuk dipertimbangkan oleh pimpinan AMANAH. Namun, penulis lebih bersedia untuk menyentuh soal imej AMANAH sekarang dan akan datang. Bagi penulis, walau dimana tempat yang AMANAH pilih untuk meneruskan kelangsungannya, imej AMANAH harus menjadi ramuan utama agar posisi AMANAH di mata rakyat bukan disandarkan atas parti lain tetapi atas kekuatannya sendiri.
Umum mengetahui sejak pandemik Covid-19 mahupun pelaksanaan PKP menjadi kehidupan baru rakyat Malaysia, AMANAH telah giat menjalankan aktiviti kebajikannya keseluruh negara. Bukan sahaja musibah pandemik, malah bencana banjir yang melanda pantai timur negara telah memunculkan AMANAH melalui pasukan ARIF sebagai jentera terawal membantu pemulihan hidup masyarakat.
Bantuan- bantuan kelangsungan hidup buat golongan B40 terus diagihkan oleh AMANAH melalui wakil-wakil rakyatnya. AMANAH yang dipimpin melalui Biro Kebajikan, Kemanusian dan Bencana Alam(BKKBA) bergerak dengan begitu pantas sekali sedia membantu masyarakat. Selain kebajikan, AMANAH berperanan membantu keluarga B40 yang gagal mengakses pendidikan melalui kaedah PdPR kerana kurang kemudahan peranti buat mereka. Tabung Peduli Pendidikan AMANAH Nasional 2021 (TPPAN21) dilancarkan sendiri oleh Tuan Hj Mohamad Sabu yang membuktikan AMANAH begitu prihatin perihal pendidikan negara.
Segala-galanya demi membantu rakyat, AMANAH antara parti yang kehadapan mendahului. Walaupun begitu, AMANAH tidak digambar sebagai usaha-usaha itu, AMANAH lebih banyak digambarkan dalam hal-hal berkaitan percaturan politik. Memang benar AMANAH adalah parti politik, maka tidak boleh lari dari perihalnya dalam berpolitik. Hakikat yang lebih malang, berita politik AMANAH mendahului berita kegiatan masyarakatnya dalam arus perdana sehingga tidak diketahui langsung.
Memegang kata-kata pemikir Malaysia, politik adalah persepsi. Oleh itu, imej merupakan satu alat utama menempatkan sesuatu parti dalam masyarakat. Imej AMANAH yang sering digambarkan sentiasa berkonflik akan mewujudkan persepsi negatif masyarakat terhadap AMANAH.
Justeru, penulis bercadang AMANAH perlu menjenamakan imejnya dimata masyarakat dengan sebuah tagline yang lebih mesra dan dekat pada masyarakat. AMANAH harus memunculkan imejnya yang kekal bersama masyarakat walaupun AMANAH sebagai kerajaan mahupun pembangkang. Jika usaha ini mampu dilaksanakan, perihal konflik AMANAH dapat dielakkan oleh dimainkan oleh pihak musuh. Musuh sentiasa menunggu setiap isu percaturan politik AMANAH supaya dilihat AMANAH sentiasa berkonflik akibat percaturannya. Rakyat juga akan termakan dengan gambaran musuh bahawa AMANAH sentiasa berpolitik sehingga melupakan masyarakat.
Walaupun AMANAH menegaskan bahawa AMANAH akan mengamalkan budaya Amanah, Progresif dan Peduli, begitu juga memasakkan ‘Rahmat Untuk Semua’ sebagai payung utama memimpin AMANAH sebagai parti Islam baru, namun AMANAH harus membina sebuah tagline yang menjenamakan AMANAH berpaksikan budaya-budaya AMANAH itu tadi.
Penulis mencadangkan AMANAH menjadikan tagline ‘AMANAH DIHATIKU’ sebagai tagline AMANAH membina imej menju PRU15. Tujuanya ada dua, pertama AMANAH akan menempatkan kedudukannya di tempat yang benar-benar dekat dengan rakyat. Ini akan menjadi simbolik bahawa AMANAH memang dekat dengan rakyat apabila segala usaha kebajikan AMANAH mendahuluinya. Pimpinan AMANAH juga yang lahir dari politik jalanan, akan membuktikan bahawa AMANAH adalah parti politik rakyat. Bukan parti politik buat kayangan mahupun kepada kelompok tertentu. Isitilah ‘AMANAH DIHATIKU’ juga telah membawa AMANAH turun serendah-rendahnya untuk mengangkat rakyat berada diatas puncak penentu masa depan. Membuktikan AMANAH meletakkan mandat rakyat pada kedudukan yang paling asas dalam memimpin.
Kedua, tagline ini akan mewujudkan sebuah budaya bahawa nilai Amanah harus ada dalam hati rakyat dalam setiap tindakan dan pekerjaan. Tergelincirnya Malaysia di mata dunia sebagai antara negara yang tinggi kadar rasuahnya membolehkan AMANAH berperanan berkempen untuk mengamalkan budaya beramanah seterusnya menyingkirkan wakil rakyat yang tidak beramana dalam menguruskan wang negara, memimpin rakyat serta berpolitik dalam parti.
Pelancaran besar-besaran tagline ini berserta logo yang menarik harus dilaksanakan. Penulis menyatakan bahawa ia harus memawa sebuah gelombang besar imej AMANAH dalam masyarakat seperti mana AWAN melakukannya membina imej wanita kehadapan. Setiap aktiviti AMANAH perlu dipromosikan AMANAH DIHATIKU dan logo-logonya disebar luaskan buka sahaja kepada ahli malah juga kepada rakyat. Setiap program santuni rakyat, tagline ini harus disebarkan. Dengan itu, penulis merasakan ia mampu melawan musuh yang menggambarkan AMANAH sedang bermasalah besar.
Selebihnya, tuga Biro Komunikasi AMANAH untuk memperkasakan idea ini agar ia lebih mantap dan berkesan. Insya Allah. AMANAH ikhlas kepada rakyat. AMANAH tidak tunggang sebarang isu untuk keuntungan politik termasuk agama. Cuma AMANAH harus memperkukuhkan imejnya dimata rakyat.
Cikgu Syazmir HN