SelangorToday

INGAT! MAHKOTA TAK SAMA DENGAN NENGGIRI

Pertempuran antara Kerajaan Perpaduan dan pihak pembangkang diteruskan dengan pusingan seterusnya apabila kerusi DUN Mahkota, Johor berlaku kekosongan luar jangka. UMNO-BN yang menjadi penyandang kerusi tersebut pasca PRN Johor 2022 diberi mandat mewakili Kerajaan Perpaduan.

Meskipun berlaku pertikaian dan tuntutan kerusi daripada pihak HARAPAN khususnya AMANAH memandangkan tiadanya wujud Kerajaan Perpaduan di Johor antara BN dan HARAPAN, HARAPAN bersetuju memberikan laluan tersebut untuk PRK kali ini. Keterbukaan itu dicapai demi mengoptimumkan jentera parti dalam Kerajaan Perpaduan agar kerusi DUN Mahkota kekal dimiliki oleh wakil Kerajaan Perpaduan.

Harus diingati dengan lebih cermat bahawa kerusi DUN Mahkota amat berbeza dengan kerusi DUN Nenggiri yang menjadi titik tolak kebangkitan UMNO-BN setelah berjaya merampas kerusi tersebut daripada PPBM. Kemenangan UMNO-BN di selatan Kelantan itu menjadi meriah seiring adanya Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun ini. Beberapa pimpinan UMNO-BN meras yakin akan kejayaan di Nenggiri dan mula mahu mengaplikasikan strategi yang digunakan disana untuk diterjemahkan di Mahkota.

Ada pula pimpinan UMNO-BN dari akar umbi mahu parti komponen HARAPAN khususnya DAP tidak terlibat dalam PRK yang bakal berlangsung pertengahan September itu. Bunyinya seolah-olah UMNO-BN telah kuat seratus peratus dan mampu mencipta kejayaan semula seperti era mereka memerintah Malaysia secara dominan dahulu.

Namun hakikat sebenarnya yang disedari sendiri oleh Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, bahawa UMNO seharusnya meneruskan proses muhasabah diri dan memperbaiki kelemahan mereka sementara PRU belum tiba. Dr. Ahmad Zahid pula secara umumnya melihat kerjasama politik yang dirintiskan pasca PRU 2022 wajar diteruskan atas faktor kedinamikan politik Malaysia. Maksudnya UMNO tidak boleh mendabik dada hanya kerana kemenangan di Nenggiri, sebaliknya masih perlu kekal sederhana dan menjalankan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan.

Ini sekaligus menolak haluan yang cuba dimulakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh dalam Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tahun ini. Akmal menyatakan UMNO belum menentukan kerjasama politik yang akan dilakukan, serta bersedia untuk membawa UMNO bertempur secara solo dalam PRU akan datang. Mungkin Ketua Pemuda UMNO itu bersangka bahawa PRU sama suasananya seperti PRK, dan demografi seluruh negara sama seperti DUN Nenggiri yang meletakkan keyakinan kepada Exco Kerajaan Negeri Melaka itu yakin dengan cetusannya.

Bagaimana pun, kelihatan perbezaan yang amat ketara antara Mahkota dan Nenggiri. Nenggiri mempunyai jumlah pengundi melayu yang ramai, pengundi bukan melayu seperti cina dan india amat sedikit. Yang menjadi percaturan adalah sokongan orang asli. Namun Mahkota, jumlah pengundi cina dan india mencapai 43%. Jalur keras yang dibawa khususnya oleh Pemuda UMNO amat tidak bersesuaian.

Kedua, DUN Mahkota terletak dibawah Parlimen yang disandang oleh wakil rakyat DAP. Ini satu faktor yang amat jelas, bahawa sentimen tiadanya DAP dalam penglibatan memenangi UMNO-BN amat tidak sesuai lagi. Kewibawaan dan prestasi baik ahli parlimen Kluang bakal menjadi pemangkin kepada sokongan pengundi Mahkota kepada wakil Kerajaan Perpaduan. Pastinya idea segelintir pemimpin akar umbi UMNO yang menolak mentah-mentah penglibatan DAP dalam PRK kali ini perlu ditolak.

Mesyuarat pertama antara BN dan HARAPAN untuk bertempur di Johor melegakan penyokong Kerajaan Perpaduan. Keputusan sebulat suara untuk semua jentera Kerajaan Perpaduan diperlukan untuk membantu kemenangan BN di Mahkota berasaskan realiti politik disana, bukan atas semangat tanpa hala tuju dan sikap syok sendiri sesetengah pihak.

Lebih utama lagi, prestasi kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan lebih diutamakan berbanding bermain sentimen yang sudah tentu dikuasai oleh pembangkang. Pendekatan UMNO menyebarluaskan kejayaan dan kerja yang telah dilakukan oleh Menteri dan Menteri Besar UMNO satu strategi yang paling sesuai dan baik memandangkan UMNO dan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan sekarang ini mestilah memilih jalur sederhana yang menekankan aspek pencapaian dasar berbanding sentimen kaum dan agama semata-mata.

Selamat berjuang kepada jentera Kerajaan Perpaduan, tahniah atas semangat berlapang dada AMANAH dalam menguruskan kerjasama di DUN Mahkota.

Exit mobile version