Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga tekad meningkatkan kebolehpasaran golongan pekerja p-panggilan dan yang bekerja sendiri.
Tawaran itu dibuat Danial Al-Rashid menerusi manifesto ‘Tawaran 5 Tekad 5 Tahun’ sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat kawasan itu pada 12 Ogos nanti.
Menurut beliau, pihaknya juga berusaha untuk meningkatkan peluang latihan dan kemahiran untuk memperluaskan laluan kerjaya menerusi ekonomi gig.
“Melalui program-program ini, kami akan memberikan jalan untuk meningkatkan taraf ekonomi dan mencapai kestabilan kewangan.
“Kami mengakui peranan penting mereka dalam ekonomi tempatan. Ini komitmen kami untuk mengangkat taraf nilai golongan ini,” katanya.
Beliau yang juga ketua Pemuda HARAPAN Selangor berkata manifesto gabungan itu bukan cakap kosong atau janji populis tetapi ia terbukti melalui pelbagai inisiatif oleh pentadbiran sekarang.
“Jadi 5 Tekad 5 Tahun Tawaran Kita Selangor ini hanya dapat dilaksanakan jika pengundi Batu Tiga memilih calon HARAPAN,” katanya.
Empat lagi tawaran kepada pengundi:
- Mengukuhkan pembangunan keluarga dan masyarakat melalui agama, ekonomi dan pendidikan dengan pelaksanaan modul dan program yang meningkatkan martabat rakyat.
- Meningkatkan daya tahan bencana dan banjir dengan menyusun perancangan kawalan komprehensif serta bekerjasama dengan agensi dan komuniti sebagai langkah preventif dan mitigasi.
- Memperkukuh penyampaian inisiatif Kerajaan Selangor dengan mewujudkan Pusat Khidmat dan Aduan Satelit di tempat awam bagi memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan.
- Menjamin kepentingan penduduk dan pembangunan dengan mengutamakan kesejahteraan penduduk, anak muda dan wanita serta mempertingkatkan kualiti infrastruktur dan kemudahan awam