SelangorToday

INI CERITA SEBENAR MENGAPA UPSR TIDAK DIKEMBALIKAN

Isu Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR) sama ada dikembalikan atau kekal dimansuhkan menjadi polemik pendidikan dalam tempoh seminggu ini. Mungkin atas faktor menjawab soalan daripada wartawan, Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa kerajaan telah pun bergerak ke hadapan dengan tidak mengembalikan semula UPSR dan menumpukan kepada pembangunan Kurikulum 2027 yang bakal mula mendapat sesi libat urus tahun hadapan.

UPSR diwujudkan pada tahun 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah 5. Beberapa fasa penambahbaikan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) dari tahun ke tahun, dari menteri ke menteri yang lain bagi memastikan UPSR kekal relevan dengan arus pendidikan negara. Dalam tempoh yang panjang, UPSR diterima umum sebagai salah satu kaedah penilaian murid setelah mereka tamat pengajian di sekolah rendah. Ertinya, UPSR menjadi medan penanda aras prestasi murid sama ada mereka mencapai aspek keperluan pendidikan seperti mengeja, membaca, mengira dan menilai atau tidak.

Memasuki abad ke-21, arus pemodenan yang semakin mencabar menekan persaingan antara satu dengan yang lain. UPSR yang sebelum ini hanya menjadi penilaian asas atau fundamental kepada rakyat Malaysia ditambah peranannya sebagai alat menilai kelayakan murid untuk menyambung pelajaran peringkat menengah yang pelbagai. Ini termasuk ke asrama penuh, pendidikan mara, sekolah sukan, sekolah seni dan pangajian agama. Mereka yang mencapai prestasi sederhana dan kebawah hanya akan bersekolah di sekolah arus perdana biasa.

Perubahan yang agak ketara ini memberi impak besar kepada corak pendidikan dan penerimaan masyarakat kepada UPSR. Ia telah menjadi satu perlumbaan super-nasional antara murid-murid tahun 6, guru-guru, sekolah-sekolah dan ibubapa. Pencapaian terbaik atau kesemua A dalam UPSR menjadi matlamat utama sebilangan besar ibubapa dan guru kesan daripada peranan baru yang dipertanggungjawabkan kepada UPSR. Bagi mereka, 6 tahun di sekolah akan ditentukan melalui selembar kertas putih yang memaparkan keputusan UPSR anak/murid mereka.

Impaknya, murid tidak lagi mengangap sekolah atau pendidikan sebagai satu proses berpanjangan yang menyeronokkan. Malah perlumbaan dari hari ke hari menuju keputusan UPSR  memberi tekanan buat murid-murid. Sekolah pula bersaing untuk dinobatkan sebagai sekolah cemerlang sehingga memadatkan takwim sekolah dengan aktiviti akademik semata-mata tanpa ada penumpuan yang berimbang kepada aspek kokurikulum, disiplin dan kepimpinan.

Guru-guru pula sudah mula hilang kewarasan dalam pendidikan akibat terlalu menumpukan kepada pencapaian A murid-murid sehingga mekesampingkan aspek kecerdasan pelbagai murid-murid dimana tidak semua murid akan cemerlang akademik. Tidak semua yang tidak menguasai akademik adalah mereka yang tidak berjaya. Sedangkan ada pelbagai aspek yang boleh dinilai terhadap murid-murid.

Ibubapa yang kebanyakkan juga dicorak melalui UPSR ini turut terikut rentak semasa. Takut akan anak mereka ketinggalan dalam pendidikan, menyebabkan mereka menekan sekuat-kuatnya agar pencapaian A anak-anak mereka tercapai. Melepasi garisan UPSR anak-anak mula memberontak dan bosan dengan perlumbaan ini, akhirnya mereka memilih untuk merosakkan diri mereka akibat tekanan ini.

Sebab itu sejak 2010 rasionalnya UPSR dalam arus pembangunan negara dilihat semula. Ketika itu pelbagai pandangan dikemukakan, membantah atau menyokong. Mungkin sejak pasca PRU ke-13 atau 2013, kedudukan parti pemerintah agak lemah, ini menyebabakan pemerintah kurang berani mengambil risiko perubahan dasar yang besar termasuk memansuhkan UPSR. Ia pastinya mendapat kecaman ibubapa dan memindahkan ke peti undi.

Oleh itu, hanya setelah Pakatan Harapan menawan Putrajaya pada tahun 2018, melalui Menteri Pendidikannya, Dr. Maszlee Malek proses pemansuhan UPSR dilaksanakan. Kerajaan memulakan proses pemansuhan tersebut dengan menamatkan aspek penilaian berpusat bagi murid tahap satu dahulu, menjelang mereka masuk ke tahap dua, kurikulum tersebut terus akan menamatkan era UPSR. Dengan cara itu, tidak berlaku perubahan ketara bagi murid dan aspek pedagogi guru juga berubah sedikit demi sedikit. UPSR akan ditamatkan antara tahun 2024 atau 2025.

Malangya, selepas Covid-19 melanda negara tahun 2020, kerajaan yang dipimpin oleh Perikatan Nasional mengambil keputusan drastik untuk memansuhkan terus UPSR dan PT3. Hal ini dipercayai kerana, penutupan sekolah begitu lama telah menyebabkan UPSR dan PT3 tidak dapat dijalankan, malah tiada solusi bernas yang kerajaan mampu kemukakan untuk memastikan murid tahun 6 dan tingkatan 3 dinilai. Yang ada hanyalah keputusan cepat, mudah dan selamat iaitu memansuhkan UPSR.  Inilah yang menjadi keluhan ibubapa, memandangkan anak mereka menerima kejutan budaya apabila tiba-tiba UPSR sudah dimansuhkan.  

Aspirasi untuk memansuhkan UPSR sudah pun ada. Malah proses penjelasan kepada ibubapa berjalan tahun demi tahun bagi memahami impak negatif perlumbaan kesemua A dalam UPSR serta kewajaran kaedah penilaian baru diperkenalkan. Namun pemansuhan UPSR secara tiba-tiba sebelum ini melahirkan ketidakyakinan ibubapa kepada penilaian yang baru khususnya Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS) dan terus bergantung kepada UPSR. Sebab itu KPM hari ini menerima cabaran besar akibat kenyataan tidak kembalikan UPSR semula. Malah KPM terpaksa bersilat bagi meredakan isu ini.

KPM yakin bahawa UPSR merupakan alat penilaian yang terbukti kewibawaannya. Namun kesan perubahan kehidupan masyarakat melahirkan bibit kelemahan kepada UPSR. Oleh itu, alang-alang KPM pada tahun 2020 telah memansuhkan UPSR, tidak perlulah KPM mengkucar-kacirkan pendidikan murid-murid dengan mengembalikan semula UPSR sedia ada. Tetapi membentuk satu kaedah penilaian baru seakan-akan UPSR yang berorintasikan pelbagai dalam Kurikulum baru 2027 kelak.

Disamping itu, kelemahan PBS yang dikemukakan oleh pakar-pakar dan guru sebagai petugas lapangan mesti diambil perhatian dan diperbaiki oleh KPM sesegera mungkin. Ia bagi memastikan generasi pertengahan yang tidak menduduki UPSR dan Kurikulum baru 2027 tetap mendapat ruang dan peluang pendidikan yang sama.

Pendidikan menjadi aspek utama negara, gagalnya pemimpin membuat keputusan yang tepat perihal pendidikan akan melahirkan generasi tempang pendidikan seterusnya merencatkan produktiviti buruh negara. Lebih malang lagi, akibat kecuaian kita mengenalpasti kehendak pasaran dan perkembangan manusiawi telah menzalimi anak-anak ini serta menggelapkan masa depan mereka.

Exit mobile version