SelangorToday

‘INI SANUSI PUNYA OTAK’, KM PULAU PINANG BIDAS SANUSI

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow membidas Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Sanusi Muhammad Nor yang mengaitkan isu perkauman dengan isu masalah air di Pulau Pinang. Chow ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap semalam berkata, Sanusi sentiasa mengaitkan semua isu dengan sentimen perkauman, sedangkan isu air merupakan isu sejagat yang tidak berkaitan dengan kaum dan agama. Jelas beliau, Sanusi mendakwa kawasan Sungai Bakap yang mempunyai 60% penduduk melayu mengalami masalah air yang berpanjangan sedangkan kaum selain melayu yang duduk dikawasan lain mempunyai air yang mencukupi.

Chow yang juga Pengerusi HARAPAN Pulau Pinang membidas dakwaan tersebut dengan berkata adakah ketiadaan air hanya berlaku di kawasan melayu sahaja, manakala kaum bukan melayu tidak mengalami masalah tersebut? Pada awal tahun ini, hampir 95% penduduk Pulau Pinang terjejas bekalan air akibat proses penaiktarafan Loji Rawatan Air Sungai Dua. Ketika itu semua penduduk baik kaum melayu mahupun bukan melayu menerima kesan gangguan bekalan air tersebut. Chow menambah, ini adalah masalah Menteri Besar Kedah  yang suka memainkan isu perkauman bukan sahaja di Sungai Bakap malah di tempat lain. 

Kata Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua dari DAP itu, otak Sanusi hanya berfikir soal perkauman dan tidak sesuai bertapak di Pulau Pinang. Chow menyeru pengundi Sungai Bakap menolak PAS dan PN dalam PRK kali ini yang bakal diadakan 6 Julai nanti bagi mematikan sebarang bentuk fahaman keras yang boleh mengganggu keharmonian rakyat Pulau Pinang. – SelangorToday

Exit mobile version