Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menempelak tohaman yang dinyatakan oleh Presiden PAS, Hj Abdul Hadi Awang yang mengaitkan Pakatan Harapan(HARAPAN) melaksanakan demokrasi seperti yang diamalkan oleh Israel. Dalam satu kenyataan semalam, Hj Azli berkata tohmahan tersebut merupakan satu pembohongan,fitnah dan tuduhan jahat kepada HARAPAN dan Kerajaan Perpaduan. Jelas beliau, Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh HARAPAN, BN, GPS, GRS dan WARISAN serta beberapa parti-parti tunggal lain merupakan satu gabungan pemerintahan yang dicadangkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selepas keputusan PRU ke-14 gagal menobatkan pemenang tunggal, maka dengan sokongan semua parti dalam PERPADUAN, ia membolehkan Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri. Maka sokongan itu menolak fitnah Ahli Parlimen Marang itu yang menyatakan HARAPAN memerintah dengan tidak mempunyai majoriti persis PLO di Israel.
Malah Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu menegaskan, hari demi hari, Kerajaan Perpaduan semakin kukuh sehingga mencapai sokongan lebih majoriti 2 per 3 Dewan Rakyat. Turut menambah, Kerajaan Perpaduan tidak pernah menyekat peruntukan pembangunan dimana-mana negeri dibawah Pembangkang. Sebaliknya negeri-negeri pimpinan PAS mendapat peruntukan lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini. Dalam penulisan bekas Duta Khas Ke Timur Tengah era pemerintah PN itu, Hj Hadi mendakwa pemerintah PERPADUAN sama seperti pendekatan golongan munafiq pada zaman Rasulullah SAW terhadap mereka yang beriman supaya menyekat peruntukan kepada pihak lawan.
Dalam masa yang sama, Hj Azli mahu satu siasatan polis dilakukan terhadap bekas Menteri Besar Terengganu itu atas kenyataan berbau hasutan dan mencabar kuasa Yang Dipertuan Agong selaku pihak yang mencadang dan memperkenankan pembentukan Kerajaan Perpaduan hujung tahun lalu. Jelas kenyataan Hj Hadi itu boleh menjejaskan keharmonian kaum serta ketenteraman awam. Ia juga boleh menimbulkan permusuhan serta kebencian di kalangan rakyat negara ini yang merupakan satu kesalahan yang boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. – SelangorToday