SelangorToday

INISIATIF KERAJAAN SELANGOR BERKESAN TINGKAT PENCAPAIAN SPM 2024

Program Tuisyen Rakyat yang dilaksanakan Kerajaan Selangor terus menunjukkan impak positif terhadap prestasi akademik pelajar, khususnya golongan B40 apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencatatkan peningkatan membanggakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesinambungan program itu bukan sahaja berjaya meningkatkan kualiti pencapaian keseluruhan pelajar, malah turut menyumbang kepada penurunan ketara jumlah calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan.

“Kalau kita lihat dari angka yang ditunjukkan, kualiti keputusan SPM semakin baik secara keseluruhannya. Jumlah calon yang tidak hadir juga menunjukkan penurunan konsisten sejak 2022,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di sini pada Khamis.

Menurut beliau, pada tahun 2022 seramai 2,387 calon tidak hadir menduduki SPM, diikuti 1,700 calon pada tahun 2023, dan jumlah itu terus berkurang kepada hanya 1,221 calon pada tahun ini.

“Program Tuisyen Rakyat menumpukan kepada pelajar dari kelompok B40 serta mereka yang tidak mampu mengikuti tuisyen berbayar.

“Golongan inilah yang kita bantu dengan motivasi dan pendidikan tambahan agar mereka sekurang-kurangnya berjaya memperoleh sijil asas SPM untuk meneruskan perjalanan pendidikan mereka,” jelasnya.

Tambah beliau, program itu akan diteruskan dan diperluas dari tahun ke tahun.

Ketika ini seramai 130,000 pelajar sedang mengikuti program berkenaan dan kerajaan negeri menyasarkan penyertaan 200,000 pelajar dalam masa terdekat termasuk menambah mata pelajaran baharu dalam aliran sains.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Selangor, Dr. Jafri Abu memaklumkan bahawa pencapaian calon SPM di negeri itu menunjukkan perkembangan positif, dengan Gred Purata Negeri (GPN) meningkat kepada 4.59 berbanding 4.67 pada tahun lalu.

“Seramai 2,368 calon di Selangor memperoleh keputusan semua A, iaitu peningkatan 3.65 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ini adalah bukti kepada usaha gigih guru, pelajar dan ibu bapa dalam menangani cabaran pembelajaran pasca pandemik,” ujarnya.

Daripada keseluruhan 66,119 calon yang menduduki peperiksaan SPM di negeri itu, sebanyak 91.53 peratus berjaya memperoleh sijil penuh.

Sekolah harian biasa dan luar bandar juga mencatatkan peningkatan prestasi yang signifikan, menunjukkan jurang pencapaian antara kawasan bandar dan luar bandar semakin mengecil.

Exit mobile version