Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Salahuddin Ayub telah menggariskan beberapa fokus utama beliau untuk dikecapi pada tahun 2023. Ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 di Dewan Serbaguna KPDN, beliau menyatakan bahawa Inisiatif berjenama RAHMAH atau Kasih Sayang akan menjadi inisiatif utama beliau dalam membantu rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup. Ia juga dikenali sebagai Payung Rahmah yang merangkumi Bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Kafe Rahmah dan Pakej Rahmah. Inisiatif ini akan dijalankan dengan kerjasama rakan strategik KPDN khusus membantu golongan berpendapatan rendah.
Naib Pengerusi Pakatan Harapan itu juga menambah, bahawa KPDN telah pun bersedia dan akan melaksanakan Inisiatif berjenama SURI yang merangkumi Rezeki Suri dan Aduan Suri. Kata beliau, Rezeki Suri akan menumpukan usaha membantu golongan suri rumah menambah pendapatan. Manakala Aduan Suri menyediakan platform aduan yang pantas yang boleh digunakan oleh suri rumah untuk membuat aduan kepada KPDN. Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan beliau, Senator Hajah Fuziah Salleh serta pegawai tertinggi KPDN menyaksikan buat kali pertamanya Salahuddin menyampaikan Amanat Tahun Baharu selepas dilantik.
Salahuddin juga menyeru kepada pasukan KPDN untuk melaksanakan gerak kerja secara berpasukan. Malah beliau mengingatkan anggota yang berada dalam KPDN sentiasa melakukan tugasan dengan berintegriti agar aspirasi yang ditetapkan oleh Kerajaan Perpaduan dapat dijayakan. Salahuddin juga dalam sidang medianya menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa bekalan minyak masak peket dipasaran tidak mencukupi. – Selangor Today