SelangorToday

IR. IZHAM ARAH KENAL PASTI JALAN TERLIBAT, KERJA TURAPAN BERMULA MAC INI

Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti jalan raya bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang perlu diturap.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim berkata kerja turapan jalan besar-besar akan segera dilaksana mulai bulan ini membabitkan peruntukan RM50 juta.

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim melawat reruai pameran ketika program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Sabak Bernam

“Kita sudah pun luluskan (peruntukan), malah kaedah akan digunakan dalam kerja penurapan juga sudah ada, tinggal pelaksanaannya sahaja.

“Sekarang proses terakhir iaitu mengenal pasti jalan-jalan terlibat di setiap daerah mengikut keutamaan. Kita akan buat mesyuarat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat daerah Sabak Bernam di Bagan Terap, Sungai Besar di sini hari ini.

Pada 16 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan projek turapan jalan raya secara mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan bawah kelolaan negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti mereka menerusi aplikasi Twitter dengan menghantar gambar, menulis aduan dan disertakan dengan tanda pagar #infrasel #daerah #namajalan.

Sementara itu, Ir Izham berkata kerja pemasangan lampu jalan diod pemancar cahaya (LED) fasa dua juga akan dilaksanakan bulan ini.

“Kalau ada yang perlukan satu dua lagi (lampu LED), saya akan bagi,” katanya.

Exit mobile version