Exco Infrastrukur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim memaklumkan bahawa Kerajaan Perpaduan Selangor komited dalam memperkasakan pelbagai projek Pertanian Bandar yang sedang mendapat tempat di Negeri Selangor. Kata beliau, projek Pertanian Bandar atau ‘Urban Farming’ ini dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan bekalan makanan di Selangor. Malah pelaksanaannya akan mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada bekalan makanan import. Izham memaklumkan sebanyak RM250 ribu telah diperuntukan oleh kerajaan negeri untuk pemberian insentif input-input pertanian kepada pemain Pertanian Bandar ini selain insentif yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) dan agensi kerajaan negeri dan pusat.
Pengerusi AMANAH Selangor itu berkata, melalui Dasar Pelan Transformasi Agro(PeTA) Selangor, kerajaan negeri telah mula mengenalpasti dan melaksanakan projek dan program membuka kawasan-kawasan baharu untuk pertanian berlandaskan lima pendekatan dalam PeTA. Iaitu pertanian bernilai tinggi, pemodenan pertanian, rantaian lengkap bekalan makanan, pembangunan agropreneur dan agro pelancongan. Melalui pendekatan tersebut, Program Selangor Smart Agro Park/Farm telah mula diperkenalkan iaitu di Sungai Air Tawar, Sungai Panjang dan Bukit Changgang.
Selangor juga menumpukan kepada penghasilan pelbagai benih tanaman seperti benih betik, melon dan jagung selain daripada perancangan untuk pembukaan kawasan pengeluaran benih-benih ikan air tawar bernilai tinggi. Ahli Dewan Negeri(ADN) Pandan Indah juga menambah, penghasilan baka bagi ternakan kambing dan lembu yang mampu menjamin kualiti tinggi diusahakan. Izham berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor pada Isnin. – SelangorToday