Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah mahu memperkasa anak muda dan naik taraf infrastruktur sekiranya diberi mandat lagi mentadbir kawasan berkenaan.
Ir Izham Hashim menerusi beberapa siri kempen pilihan raya negeri (PRN) turut menyatakan hasrat mahu memastikan agenda pemerkasaan anak muda direalisasikan selari dengan Tawaran Kita Selangor Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Selangor.
“Baru-baru ini saya bersama anak muda di program pertandingan bola tampar anjuran Persatuan Penduduk Pandan Jaya Selatan. Gelanggang ini merupakan salah satu inisiatif diusahakan saya bersama Majlis Sukan Negeri awal tahun ini.
“Saya turut menambah peruntukan lampu solar supaya memudahkan mereka bersukan pada waktu malam. Semua ini dilakukan bagi melihat anak muda di Pandan Indah sentiasa aktif dan cergas,” katanya menerusi Facebook.
Ir Izham yang juga EXCO infrastruktur dan pertanian turut berhasrat mahu menaik taraf beberapa pangsapuri kos rendah dan kemudahan awam di DUN Pandan Indah sekiranya diberi mandat lagi.
“Insya-Allah, jika diberikan peluang untuk berkhidmat di N21 Pandan Indah selepas ini, saya akan menyalurkan peruntukan naik taraf beberapa kemudahan dan pangsapuri kos rendah di sini,” katanya.
Pada PRN 12 Ogos ini, DUN Pandan Indah menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Lisa Redzuan dari MUDA, Fazil Mohamad Dali (Perikatan Nasional) dan R Sivaneswaran (BEBAS).