
Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan langkah segera membina pintu kunci air di beberapa lokasi berisiko tinggi banjir bagi mengelakkan kejadian berulang terutama ketika hujan lebat.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Dato’ Ir. Izham Hashim, berkata tindakan itu diambil susulan aduan serta pemantauan terhadap kawasan yang sering terjejas, termasuk Kampung Baru Hicom dan Padang Jawa di Shah Alam, serta Kampung Tengah dan Kampung Seri Aman di Puchong.
“Antara punca banjir yang dikenal pasti adalah ketiadaan pintu kunci air, khususnya di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan. Hanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mempunyai infrastruktur itu, menyebabkan usaha mengepam air menjadi tidak efektif.
“Justeru, kita akan membina pintu kunci air di kawasan terlibat dan memohon peruntukan segera daripada kerajaan negeri supaya kerja ini dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan JPS untuk meneliti beberapa kawasan tambahan bagi memastikan tindakan pencegahan banjir dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, Ir. Izham berkata ketika ini kerajaan negeri sedang melaksanakan lebih 90 projek tebatan banjir yang melibatkan kos hampir RM4 bilion, namun kebanyakan projek ini memerlukan masa antara dua hingga tiga tahun untuk siap sepenuhnya.
“Sebagai contoh di Taman Mutiara, Klang, kita tidak lagi menerima aduan banjir kerana kolam takungan hampir siap dan sudah mula berfungsi. Ini bukti bahawa projek-projek tebatan ini akan beri kesan besar apabila siap sepenuhnya,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan memastikan pemantauan rapi dibuat ke atas semua kontraktor terlibat dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan, termasuk menamatkan kontrak, jika berlaku kelewatan atau kegagalan melaksanakan projek mengikut jadual.
Kejadian hujan lebat luar biasa yang berlaku pada awal pagi Jumaat lalu telah menyebabkan lebih 1,000 penduduk sekitar Petaling dan Klang terjejas, dengan lebih 200 keluarga terpaksa berpindah ke enam pusat pemindahan sementara (PPS). Antara kawasan terkesan ialah Taman Sri Muda, Padang Jawa, dan Meru.
Ir. Izham memberi jaminan bahawa kerajaan negeri komited untuk menangani isu banjir secara berfasa dan berterusan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat Selangor.