 
                HULU SELANGOR – Politik Malaysia terus menyaksikan percaturan yang kian sengit, dengan retorik keras dan sentimen agama sering dijadikan modal utama pihak tertentu. Namun, di tengah gelombang ini, Pengerusi AMANAH Selangor, YB Ir. Izham Hashim tampil mengingatkan ahli partinya agar tidak hanyut dalam arus politik penuh emosi dan pertembungan ekstrem.
Berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan AMANAH Hulu Selangor di Taman Danau semalam, beliau menegaskan bahawa politik rahmah adalah teras kekuatan AMANAH sejak mula ditubuhkan, dan prinsip itu perlu dipertahankan meskipun berdepan provokasi politik lawan.

“Dalam kita mendepani arus politik yang semakin tajam dan keras mutakhir ini, janganlah kita hanyut dengan kelaku parti lawan yang menyangka hanya merekalah yang memperjuangkan Islam, sesiapa yang melawan mereka bererti melawan Islam,” tegas beliau.
Kenyataan itu jelas merujuk kepada gaya politik eksklusif sesetengah parti yang memonopoli tafsiran agama, sedangkan AMANAH sejak awal mengangkat pendekatan inklusif, progresif dan berpaksikan rahmatan lil alamin.
Ir. Izham turut mengingatkan bahawa mesyuarat tahunan bukan hanya soal laporan dan pemilihan semata-mata, tetapi peluang untuk ahli bermuhasabah serta memperkukuh gerak kerja di lapangan.
“Semoga mesyuarat ini menjadi medan untuk kita bermuhasabah serta memperkukuh gerak kerja kita semua,” ujarnya lagi.

Seruan itu dilihat penting dalam konteks politik Selangor, negeri yang menjadi medan perebutan utama pada PRU dan PRN lalu. Dengan landskap politik yang terus berfragmentasi, AMANAH perlu memperkukuh identiti politik rahmah agar kekal relevan dalam mendepani saingan yang kerap mengasak dengan naratif hitam putih.
Mesyuarat AMANAH Hulu Selangor semalam membuktikan bahawa walaupun berdepan cabaran politik luar yang keras, AMANAH tetap konsisten dengan pendirian untuk membawa politik yang lebih lunak, beradab, dan peduli rakyat.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            