SelangorToday

IR. IZHAM SERU JENTERA PASTIKAN TIADA RUANG PENGKHIANAT BERTAPAK DI HULU KELANG

Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor akan meletakkan calon terbaik di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang bagi memastikan tiada ruang buat pengkhianat.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor berkata jentera parti juga perlu bekerja keras untuk menyakinkan pengundi supaya tidak terpedaya dengan pihak lawan dalam pilihan raya negeri.

“Kita dengar (khabar) angin ada panglima atas bukit mahu datang sini. Dia lari turun bukit ingin datang ke hulu. Mahu lari sebab apa? Sebab bukit sudah bergoyang dan dia tidak selamat.

“Kalau berani sangat, pertahankan tempat sendiri. Kenapa lari? Tidak mengapa, kita lawan dengan calon hebat dan terbaik. Kita akan pastikan tiada tempat untuk pengkhianat,” kata Ir Izham Hashim.

DUN Hulu Kelang antara tumpuan kerusi panas berikutan pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) digembar-gemburkan akan bertanding di kawasan tersebut.

Berucap pada pelancaran Jentera dan Bilik Gerakan Perpaduan DUN Hulu Kelang malam tadi, Ir Izham turut menasihatkan pengundi supaya berwaspada dengan PAS yang sentiasa memainkan sentimen agama.

Menyifatkannya sebagai ‘mantera’ dan ‘jampi serapah’ parti itu sejak dahulu, beliau mendakwa PAS sering memutar belit fakta, terutama membabitkan isu air dan agihan dana kepada institusi agama.

“Dia (PAS) sering meraban sebab mereka banyak bergantung kepada auta bukan fakta, jadi pembohongan itu dasar mereka. Mereka mahu timbulkan persepsi merekalah juara Islam dan Melayu.

“Ini sebenarnya budaya pecah-belah masyarakat yang sangat bahaya. Kita nampak macam biasa tetapi kesannya besar. Jadi, jangan kita benarkan mereka bawa perpecahan ini di Selangor,” katanya.

Exit mobile version