Pengerusi Parti AMANAH Negara, Negeri Selangor Ir. Izham Hashim mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan Parti DAP Negeri Selangor yang telah dipilih semalam. Melalui pemilihan yang diadakan di Konvensyen Biasa DAP Selangor 2024, perwakilan DAP Selangor memilih 15 calon untuk dijadikan pimpinan utama DAP Selangor.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Izham yang juga Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor itu melihat pemilihan kepimpinan baru DAP Selangor itu sebagai satu pasukan yang mantap dengan menggabungkan kesemua segmen terutama gabungan ahli parlimen dan ahli Dewan Negeri Selangor.
Dalam masa yang sama, beliau mengharapkan barisan kepimpinan yang telah dipilih mampu terus memperkukuhkan hubungan semasa parti komponen dalam Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan di Selangor. Hal ini memandangkan, hubungan yang diperkukuhkan antara kesemua parti akan mendatangkan kesan positif kepada rakyat termasuk menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Kata Ahli Dewan Negeri Pandan Indah itu juga, kesepaduan yang dibina bersama juga akan mengelakkan sebarang ruang diberikan kepada Perikatan Nasional untuk merampas Negeri Selangor. Justeru parti dalam Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan Selangor yang diperkukuhkan akan meneruskan program demi Negeri Selangor yang lebih maju dan harmoni. –SelangorToday