Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim mengumumkan beberapa langkah penyelesaian segera bagi menangani isu banjir yang kerap melanda tiga kawasan kritikal di negeri ini, iaitu Meru, Taman Sri Muda dan Taman Seri Alam.
Pengumuman tersebut dibuat selepas beliau mempengerusikan satu mesyuarat khas bersama pelbagai agensi teknikal termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan serta wakil-wakil rakyat kawasan terlibat.
Ir. Izham menegaskan bahawa walaupun kerajaan negeri dan persekutuan sedang melaksanakan pelan jangka panjang bagi menangani isu banjir secara menyeluruh, tindakan segera yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat mestilah diberi keutamaan.
“Kita tidak boleh tunggu semata-mata kepada projek besar yang memakan masa bertahun. Masalah banjir ini memerlukan kombinasi antara penyelesaian jangka panjang dan tindakan segera yang praktikal dan berkesan,” katanya.
Antara langkah penyelesaian segera yang diumumkan:
Kawasan Meru
- Penyelenggaraan parit dan longkang yang tidak bertuan.
- Pemasangan Flap Gate di Sungai Binjai melibatkan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar.
- Pengaktifan operasi Booster Pump di Sungai Binjai.
- Pengalihan utiliti yang menghalang aliran di Sungai Binjai.
Taman Sri Muda
- Naik taraf sistem saliran dalaman kepada tahap perlindungan 20 ARI.
- Penggantian Flap Gate yang rosak di outlet ke Sungai Klang.
- Pembesaran kolam takungan sedia ada.
- Pengukuhan dan naik taraf ban tanah di tebing Sungai Klang.
- Pembinaan ban tanah/floodwall di Sungai Rasau antara LKSA dan pintu air Taman Sri Muda.
- Penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah rizab sungai.
- Pengalihan kabel dan paip utiliti serta naik taraf sistem automasi Pintu Air No. 3.

Taman Seri Alam
Isu utama yang dibangkitkan adalah kejadian kolam takungan banjir di Hillpark, Puncak Alam yang pecah buat kali kedua dalam tempoh enam bulan, menyebabkan limpahan air ke kawasan kediaman.
Pihak pemaju, Hillpark Resources, bersama JPS dan Persatuan Penduduk, telah bersetuju melaksanakan langkah segera pembaikan kolam tersebut yang akan dimulakan dalam minggu ini.
Ir. Izham turut memberi jaminan bahawa beliau sendiri akan turun ke lapangan dalam masa terdekat untuk meninjau kemajuan pelaksanaan tindakan yang dipersetujui.
“Insya-Allah, saya akan ke daerah Klang dan Taman Seri Alam dalam masa terdekat bagi memastikan kerja-kerja ini dilaksanakan segera dan memberi manfaat terus kepada rakyat,” tambah beliau.