Dewan Rakyat – Ahli Parlimen Shah Alam menyatakan kegusarannya apabila ada pemimpin politik yang berani mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang merupakan dokumen asas tertinggi negara. Kata beliau pemimpin politik yang mempertikaikan perlembagaan boleh membawa negara dalam zon merbahaya memandangkan perlembagaan merupakan kontrak sosial yang dipegang oleh seluruh rakyat Malaysia. Malah pemimpin politik yang mempertikaikan kewibawaan perlembagaan juga berada di dalam undang-undang tersebut setelah mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat yang akan mempertahankan Perlembagaan Persektuan.
Sedangkan Ketua AMANAH Kawasan Shah Alam memberi contoh dimana negara Islam mula celaru dan kucar-kacir bukan kerana pergaduhan antara mereka yang berbeza kulit dan agama, tetapi ia berlaku akibat pengkhianatan kontrak sosial yang dicabuli oleh sesuatu pihak. Hj Azli mengambil contoh golongan Bani Qainuqak yang melanggar syarat yang telah ditetapkan dalam Piagam Madinah yang merupakan kontrak sosial Negara Madinah. Sedangkan Islam sangat menghormati Kontrak Sosial sebagai perjanjian antara masyarakat Islam dan bukan Islam dalam sesuatu negara. Jelas beliau lagi, pengkhianatan kontrak sosial ini berpunca dari fahaman yang berbentuk ektrimis yang mula mekar di Malaysia sejak PRU ke-15 lalu.
Maka Hj Azli ketika mencadangkan usul menjunjung kasih Titah Diraja sempena Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Majlis Parlimen kelima belas Dewan Rakyat menyeru agensi-agensi agama kerajaan seperti JAKIM,YADIM dan IKIM menjadikan agenda menangani fahaman ekstrimis sebagai agenda utama. Beliau mahu agensi kerajaan memastikan doktrinasi yang memecahbelahkan persaudaraan seagama ditangani sehabis baik. – SelangorToday