 
                Kepong, 16 Ogos – Parti Amanah Negara (AMANAH) terus berdiri kukuh dalam politik Malaysia selama sedekad kerana dua perkara utama: gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin yang inklusif dan pengorbanan aktivis parti yang tidak pernah mengenal lelah.
Itu penegasan Pengerusi Biro Mobilisasi AMANAH Nasional, YB Abbas Azmi ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan AMANAH Kepong, semalam.
Menurut Abbas, gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin bukan sekadar slogan, tetapi asas perjuangan AMANAH dalam membawa rahmat dan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang.
“Rahmat Allah ini bukan hanya untuk orang Islam atau Melayu sahaja, tetapi untuk semua masyarakat berbilang kaum di negara kita. Kita tidak melihat warna kulit atau keturunan, tetapi kita melihat semuanya sebagai hamba Allah dan rakyat Malaysia yang cintakan negara ini,” tegasnya.
Abbas menambah, kefahaman inklusif inilah yang menjadikan AMANAH mampu berkembang pesat biarpun masih baru dalam arena politik berbanding parti-parti lain.
“Dulu orang hanya kenal ‘parti Mat Sabu’. Hari ini, AMANAH sudah ada branding sendiri. Semua ini kerana ada aktivis yang setia, yang bekerja siang malam untuk mengembangkan pengaruh parti,” katanya lagi.

4 Oktober Milik Aktivis, Bukan Milik Pimpinan
Abbas dalam ucapannya turut memberi penekanan kepada sambutan 10 Tahun AMANAH yang akan berlangsung pada 4 Oktober 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Baginya, acara itu bukan sekadar sambutan biasa, tetapi detik penghargaan kepada seluruh aktivis parti.
“Ini bukan program Datuk Seri Mohamad Sabu, bukan program Datuk Seri Dr. Mujahid atau bukan program Adly. Ini program ahli, ini program aktivis AMANAH. Kita nak raikan mereka yang selama ini menjadi nadi kekuatan parti,” katanya disambut tepukan gemuruh.
Beliau yakin sekurang-kurangnya 1,000 ahli dari Wilayah Persekutuan akan hadir pada himpunan tersebut, selain sokongan padu dari negeri-negeri lain.

AMANAH Untuk Semua
Ucapan Abbas jelas memperkukuh identiti AMANAH sebagai parti progresif Islam yang berjuang bukan untuk kelompok tertentu, tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.
“B40, M40, T20, apa saja latar belakang, semuanya rakyat Malaysia. Rahmat Allah ini kita bawa untuk semua,” ujarnya penuh semangat.
Sambutan 10 tahun ini dijangka menjadi titik penting perjalanan AMANAH dalam politik Malaysia – daripada parti yang pernah dilihat kecil dan asing, kini tampil dengan gagasan besar untuk masa depan negara.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            