Israel menyatakan tekadnya untuk meneruskan perang di Gaza sama ada dengan atau tanpa sokongan antarabangsa’.
Israel ketika ini berdepan tekanan yang semakin meningkat daripada pelbagai pihak termasuk penyokong utamanya, Amerika Syarikat (AS).
Kelmarin, Presiden AS, Joe Biden dalam satu acara kempen berlangsung di Washington memberi amaran Israel berisiko kehilangan sokongan dunia susulan tindakan pengeboman sembarangan’ ke atas Gaza.
Biden mendakwa Israel menerima sokongan kebanyakan negara selepas serangan mengejut Hamas ke atas Israel namun mula kehilangan sokongan itu apabila melakukan pengeboman sewenang-wenangnya di Gaza.
Walaupun dikecam oleh sekutu utamanya, Israel menegaskan untuk meneruskan perang di Gaza.
“Israel akan meneruskan perang menentang kumpulan pejuang Hamas dengan atau tanpa sokongan antarabangsa.
“Gencatan senjata pada peringkat ini disifatkan sebagai `pemberian hadiah’ kepada kumpulan Hamas, selain akan membenarkan mereka mengancam semula orang di Israel,” kata Menteri Luar Israel, Eli Cohen.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu kemudian memaklumkan bahawa Israel akan meneruskan pertempuran di Gaza.
“Kami akan teruskan sehingga ke akhirnya. Tiada pertikaian lagi. Saya menyatakan perkara ini atas kesengsaraan yang dialami dan tekanan antarabangsa.
“Tiada apa yang akan menghalang kami, Israel akan berjuang sehingga akhir dan mencapai kemenangan,” katanya menerusi kenyataan video. – AFP