SelangorToday

ISRAEL TIDAK TERGOLONG DALAM NEGARA BERTAMADUN – PM ANWAR

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sokongan teguh Malaysia terhadap rakyat Palestin dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam pada Isnin di Riyadh, Arab Saudi.

Kenyataan itu dikongsikan menerusi Facebook rasmi beliau, memaparkan situasi sukar yang sedang dihadapi dunia Islam dan ummah pada masa kini.

“Keadaan yang dihadapi dunia Islam dan ummah pada saat ini adalah yang paling sukar dan mencabar,” ujar Anwar.

Beliau turut menekankan usaha berterusan untuk menamatkan keganasan dan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin, sambil menyatakan bahawa Israel telah melampaui batas kemanusiaan dan memerlukan tindakan tegas daripada masyarakat antarabangsa.

“Israel tidak tergolong dalam negara yang bertamadun, dan kebiadabannya menuntut tindakan dan prinsip tegas untuk melindungi bukan sahaja Asia Barat, tetapi seluruh tatanan global,” tambah beliau.

Perdana Menteri juga menyeru tindakan segera masyarakat antarabangsa termasuk sekatan dan penggantungan keanggotaan Israel di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebagai langkah segera, kita perlu mendesak dan membina konsensus untuk menggantung bahkan menyingkirkan Israel daripada PBB,” katanya.

Kenyataan itu turut mengecam tindakan Israel yang menyasarkan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Asia Barat yang menjadi nadi penting untuk kelangsungan hidup Palestin.  “Masyarakat antarabangsa perlu bertindak dengan pantas dan tegas,” seru beliau.

Beliau mengingatkan bahawa kekejaman itu boleh merebak ke negara lain seperti Lubnan dan Iran serta mengancam kestabilan global.

“Kita mesti bersama, bukan sahaja sebagai umat Islam tetapi juga sebagai sesama insan, bersatu serta berpegang kepada kebenaran untuk dunia yang lebih aman dan lebih baik bagi anak-anak kita serta generasi yang akan datang,” tegasnya lagi. -Berita RTM

Exit mobile version