Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi ampun, menunda atau lega hukum bagi sebarang kesalahan yang dilakukan dalam wilayah persekutuan.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Istana Negara menjelaskan Sultan Ibrahim memiliki kuasa tersebut mengikut Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan berkenaan juga menyebut Baginda boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan mahkamah bagi kesalahan tersebut.
“Kuasa Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan sendiri oleh Agong.
“Oleh itu, mana-mana pihak yang ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, pemohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh lembaga pengampunan pada mesyuarat akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Istana Negara turut meminta semua pihak menghormati perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan beberapa hari sebelum penganjuran himpunan solidariti kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman Putrajaya, Isnin depan.
Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul difailkan bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersetuju memberi pengurangan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Najib, yang kini ditahan di Penjara Kajang.