SelangorToday

ISU DIBANGKITKAN PEMBANGKANG LEWATKAN PERJALANAN SIDANG DN SELANGOR

Pembangkang Negeri Selangor yang membangkitkan beberapa isu setelah Sidang Dewan Negeri Selangor bermula pagi tadi menyebabkan perjalanan sidang menjadi lewat dan terganggu seketika. Selepas Ahli Dewan Negeri(ADN) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao mengangkat sumpah ADN Selangor setelah beliau memenangi kerusi DUN Kualau Kubu Bharu bulan lalu, Ketua Pembangkang, Azmin Ali bangun dan mohon penjelasan Speaker Dewan Negeri Selangor berkaitan ADN Selat Klang, Abdul Rashid Asari yang masih duduk di blok pembangkang sedangkan pada 17 Mei 2024, BERSATU telah menamatkan keahlian ADN tersebut serta merta. 

ADN Hulu Kelang itu mempersoalkan mengapa beliau masih duduk di blok pembangkang sedang bekas Pengerusi BERSATU Selangor itu telah pun mengisytiharkan sokongannya kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor dan Perdana Menteri Mac lalu. Namun persoalan itu dijelaskan oleh Speaker, Lau Weng San apabila kedudukan ADN Selat Klang di Dewan Negeri Selangor telah diletakkan di tengah – tengah antara blok kerajaan dan pembangkang memandangkan Abdul Rashid menjadi ahli dewan yang tidak berparti. Namun kerusi tersebut diletakkan sama dengan blok pembangkang memandangkan Abdul Rashid wajar diletakkan dibaris hadapan memandangkan beliau merupakan ADN penggal kedua.

Ketika mahu memulakan sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan, sekali lagi ADN Pembangkang daripada Taman Medan, Dr. Afif Bahardin pula mempersoalkan keputusan speaker menolak soalan yang dikemukakan oleh beliau dalam sidang kali ini.  Walau bagaimanapun, Speaker memohona beliau menulis surat kepada beliau untuk beliau menjawab dan menyatakan alasan dengan jelas melalui surat tersebut. Isu-isu yang berbangkit menyebabkan perjalanan sidang lewat selamat 30 minit. – SelangorToday

Exit mobile version