Pengarah Hal Ehwal Syariah Pemuda AMANAH Nasional, Nor Hafiz Roslan berasa terkilan dengan keadaan yang berlaku apabila Napur Sharma Jurucakap, Bharatiya Janata Party (BJP), parti pemerintah negara India membuat penghinaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. Sambil memetik petikan ayat Al-Quran Surah Al-An’am Ayat 108, Hafiz mengingatkan umat Islam untuk tidak bertindak sama seperti pemerintah India yang tidak menghormati agama lain, sedangkan Islam menekankan kepada umatnya supaya saling menghormati walaupun berbeza agama.
Tambah Hafiz, beliau mempersoalkan dimana hilangnya suara keras Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwah Agama Islam), Dato Ustaz Idris Ahmad berkaiatan dengan situasi yang berlaku. Negara-negara Islam seluruh dunia telah mengutuk keras, memanggil duta India dan memboikot barangan buatan India. Malangnya di Malaysia di mana Islam menjadi agama rasmi dan dipimpin oleh kerajaan yang kononnya memperjuangkan agenda Melayu Islam, jemaah menterinya hanya diam membisu tanpa sebarang tindak balas dengan penghinaan yang melampau ini.
Hafiz yang juga Peguam Syarie menganggap Ustaz Idris seolah-olah kelihatan bacul dan tidak memainkan peranan sebagai seorang menteri yang mewakili portfolionya dengan baik apabila menikus dan hanya membiarkan perkara ini berlaku begitu sahaja walhal penghinaan tersebut amat mengguris perasan umat Islam di seluruh dunia. Maka oleh kerana menteri-menteri di Malaysia hanya sibuk beretorik dan berebut kuasa maka Pemuda AMANAH Nasional ingin mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Napur Sharma serta menggesa Kerajaan Malaysia menghantar bantahan rasmi kepada Kerajaan India atas penghinaan tersebut.