Majlis Presiden Pakatan Harapan meneliti secara dekat perkembangan terkini yang berlaku di India melibatkan isu Islamophobia. Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Majlis Preside PH menyeru agar Kerajaan India yang dipimpin Perdana Menteri Narendra Modi menjaga keharmonian serta kesederhanaan kehidupan beragama di India. Perkembangan yang berlaku melibatkan beberapa wakil parti Bharatiya Janata Party (BJP) di India minggu lalu yang telah mengeluarkan kenyataan berhubung Nabi Muhammad SAW yang telah mengguris hati serta menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.
Melihatkan kepada keadaan yang berlaku, ia mampu mencetuskan fenomena Islamophobia yang pastinya menggangu keharmonian dan keamanan sejagat, maka Majlis Presiden PH terpanggil untuk mengeluarkan kenyataan tersebut. Majlis Presiden PH juga turut menyeru agar tindakan-tindakan kezaliman dan penghinaan terhadap mana-mana penganut agama di India termasuk Kristian, Budha, Muslim serta kasta seperti Dalit dihentikan. Sebagai langkah tegas yang diambil oleh PH, PH akan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia untuk memberi penegasan terhadap isu ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan atas nama Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi Pakatan Harapan, Mohamad Sabu mewakili AMANAH, Anthony Loke mewakili DAP dan Madius Tangau mewakili UPKO. Isu penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW merupakan isu berat yang harus diberikan perhatian. Malah keadaan ini tidak boleh diteruskan berpanjangan sehingga mampu mencetuskan perbalahan antara agama.