 
                KOTA KINABALU, 24 Jun 2025 – Pemuda AMANAH Nasional menyatakan kesediaan untuk menganjurkan satu sesi debat terbuka berkenaan isu rasuah di Sabah, dengan menjemput wakil daripada mahasiswa serta kerajaan negeri Sabah yang ditadbir bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Rendy Ismail, platform debat ini dicadangkan bagi memberi ruang yang adil dan terbuka kepada kedua-dua pihak menyatakan hujah, membentangkan fakta dan memberi penjelasan kepada rakyat.
“Pemuda AMANAH akan menyediakan pentas debat sekiranya kedua-dua pihak bersetuju menghantar wakil masing-masing. Lokasi, masa, dan tajuk debat akan diumumkan setelah ada persetujuan untuk bertemu di pentas hujah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rendy menegaskan bahawa debat adalah satu medium yang sihat dalam budaya demokrasi, bukan sahaja sebagai gelanggang berhujah, tetapi juga sebagai saluran mendidik masyarakat agar dapat menilai isu secara matang.
“Negara-negara demokrasi mengiktiraf debat sebagai ruang penting dalam wacana politik dan masyarakat. Di Malaysia, ramai tokoh politik seperti Perdana Menteri hari ini, Khairy Jamaluddin, Rafizi Ramli dan ramai lagi pernah berdebat secara terbuka. Mereka tidak hanya teriak di jalanan, sebaliknya berani berhujah di hadapan lawan,” tambah beliau.
Justeru, Pemuda AMANAH menyeru mana-mana wakil mahasiswa dan kerajaan negeri Sabah agar tampil menerima cabaran ini, demi ketelusan dan pemerkasaan demokrasi.
“Kita perlu berani berhujah, bukan hanya mendominasi ruang awam dengan satu naratif. Rakyat berhak mendengar dari kedua-dua pihak, dan debat adalah platform terbaik untuk itu,” ujar Rendy mengakhiri kenyataan.
Debat tersebut dijangka memberi tumpuan kepada isu-isu integriti, ketelusan dan tata kelola kerajaan negeri yang telah menjadi sorotan kebelakangan ini. Tarikh dan lokasi akan diumumkan sebaik kedua-dua pihak mengesahkan penyertaan.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            