SelangorToday

Isu Titah Addendum: Dr Zulqarnain Dedah Kekhilafan Kenyataan Hassan Karim

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, YB Hassan Karim yang mempersoalkan perbezaan antara pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 dan keputusan Mahkamah menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Addendum disifatkan sebagai satu kekeliruan dari sudut perlembagaan dan undang-undang.

Portal Malaysiakini pada 22 Disember 2025 melaporkan Hassan Karim mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke yang menolak permohonan Najib Razak berkaitan Titah Addendum, dengan mempersoalkan mengapa Yang di-Pertuan Agong ketika itu boleh mengampunkan Anwar Ibrahim sepenuhnya sedangkan Najib tidak diberikan layanan sama.

Namun, menurut penjelasan Dr Zulqarnain Lukman, kekeliruan tersebut telah lama diperincikan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim lwn Mohd Khairul Azam Abdul Aziz & satu lagi rayuan [2023] 3 MLRA 149.

Dalam kes itu, pengampunan penuh Anwar Ibrahim oleh Sultan Muhammad V selaku Yang di-Pertuan Agong ke-15 telah dicabar, namun Mahkamah menegaskan bahawa perintah pengampunan tersebut dibuat secara sah di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Perintah berkenaan secara jelas memberikan “Pengampunan Penuh dan Pembebasan Serta Merta” serta menganggap Anwar sebagai seorang yang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan.

Rekod Mahkamah Tinggi turut menunjukkan bahawa Lembaga Pengampunan telah bersidang secara teratur dengan kehadiran wakil Peguam Negara serta Perdana Menteri yang ketika itu bertindak sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Sebaliknya, dalam kes Najib Razak, Lembaga Pengampunan hanya memutuskan peremitan hukuman, termasuk pengurangan tempoh penjara sebanyak 50 peratus dan pengurangan denda, bukannya pengampunan penuh.

Keputusan itu juga telah dicabar oleh Majlis Peguam dalam kes Badan Peguam Malaysia lwn Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan [2024] MLRHU 2413, namun Mahkamah mengekalkan pendirian bahawa keputusan Lembaga Pengampunan yang dibuat secara teratur adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.

Penolakan Mahkamah terhadap permohonan Najib Razak berkaitan Titah Addendum pula adalah berasaskan dua alasan utama, iaitu titah tersebut tidak dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan serta ketiadaan peruntukan undang-undang yang membolehkan pelaksanaan tahanan rumah di Malaysia.

Menurut Dr Zulqarnain, isu Titah Addendum merupakan persoalan baharu kerana belum wujud kes terdahulu melibatkan titah tambahan yang dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan. Justeru, Mahkamah menekankan kepentingan pematuhan prosedur seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan Mahkamah tidak wajar ditafsir sebagai campur tangan kehakiman terhadap institusi Raja-Raja Melayu, sebaliknya merupakan pelaksanaan kuasa kehakiman di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah, katanya, kekal konsisten mempertahankan keputusan Lembaga Pengampunan yang dibuat mengikut prosedur yang sah.

Sehubungan itu, beliau menyimpulkan bahawa perbandingan yang dibuat oleh YB Hassan Karim antara kes pengampunan Anwar Ibrahim dan kes Najib Razak adalah tidak tepat dari sudut perlembagaan, sekali gus menunjukkan pendirian tersebut adalah satu kekhilafan.

Exit mobile version