Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor tidak berkecil hati dengan kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed meremehkan parti itu dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Johor.
Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim berkata, itu hanya pandangan Nur Jazlan dan tidak mewakili keputusan UMNO.
Menurutnya, keadaan di Johor tidak menjejaskan kerjasama baik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
“Saya tidak ada kerisauan kerana itu pandangan peribadi. Semua boleh beri pandangan tetapi akhirnya pimpinan tertinggi yang akan buat keputusan.”Ketika ini kerjasama PH-BN peringkat Pusat stabil. Amanah di Selangor pula dalam keadaan baik, hebat dan semua gembira,” katanya ketika ditemui pada Program Ekspedisi Santuari Ikan Sungai Chiling di sini pada Selasa.
Nur Jazlan pada Khamis melabel Amanah dan PKR seperti ‘lebih sudu daripada kuah’ berkaitan isu pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor.Izham yang juga Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor berkata, perselisihan pendapat dan pandangan terbuka itu dianggap biasa bagi menghangatkan suasana politik dalam negara.
“Biasalah kalau tak panas bukan politik, kalau sejuk banyak pihak tidur. Kalau nak kecil hati jangan masuk politik, jiwa kena kuat, hati tisu tidak boleh masuk politik,” katanya.
Beliau bagaimanapun berpandangan, kerjasama baik antara semua parti mampu memberikan hasil baik kepada rakyat dan negara.
“Saya lihat semua parti memberikan kerjasama baik semasa PRN Mahkota dan masing-masing dapat faedahnya melalui kemenangan besar.
“Perpaduan menjamin kemenangan tapi kalau bergaduh macam ini rakyat pun benci dan tidak akan membawa faedah kepada sesiapa.
“Semua perlu sedar tiada sesiapa yang kuat, hanya akan menjadi kuat apabila semua bersatu,” katanya. – Sinar Harian