Kerajaan Selangor mahu menjadikan pembudayaan inovasi pertanian sebagai satu komponen penting dalam memperkasa sektor itu di negeri ini. Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, tanaman yang menggunakan teknologi tinggi industri asas tani (IAT) itu memerlukan pembabitan lebih ramai ramai usahawan dan petani.
“Dalam sektor lain juga kena ada inovasi sama juga dalam pertanian yang sebenarnya memerlukan teknologi baru dan inovasi untuk kekal relevan dan meningkatkan pengeluaran,” jelas beliau.
Mengambil contoh beberapa negara seperti Thailand, Taiwan dan Belanda, Izham memberitahu, negara terbabit terlebih dahulu jauh ke depan dalam bidang inovasi pertanian.
“Inovasi (pertanian) menyumbang semula dari segi keuntungan produktiviti dan peningkatan hasil serta dapat mengurangkan kos.
“Sebab itu, tumpuan kepada inovasi pertanian perlu diberi ruang dan diperhebatkan kerana ia boleh dikomersialkan,” jelas beliau.
Katanya, antara buah-buahan yang diinovasikan seperti penghasilan jeruk melon yang dianggap unik dan mempunyai permintaan tinggi.
“Biasanya apabila penanaman melon, 20 peratus hasil buah rosak dan terencat, manakala hanya 80 peratus sahaja menjadi buah.
“Apabila tercipta inovasi, buah (melon) ini boleh dijadikan sebagai jeruk setanding dengan jeruk mangga yang ada di pasaran,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Izham yang juga Pengerusi AMANAH Selangor berkata kerajaan Selangor mengenal pasti 12 jenis tanaman bernilai tinggi yang perlu diperluaskan pada masa depan”Antara 12 tanaman bernilai tinggi itu seperti cendawan, melon, nanas, nangka dan halia,”
Izham berkata, selain tanaman, kerajaan Selangor juga turut memberi tumpuan kepada sektor pertanian lain dalam bidang perikanan dan ternakan. Kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Inovasi Pertanian Selangor 2023 di Kompleks Pejabat Pertanian Kuala Selangor di sini pada Khamis.