SelangorToday

IZHAM CADANG GOLONGAN WANITA SERTAI SEKTOR PERTANIAN MODEN SELANGOR

Exco Infrastruktur dan Pertanian  Selangor, Ir.Izham Hashim mencadangkan kepada golongan wanita untuk turut sama menceburi bidang pertanian moden yang ada di Selangor. Jelas Izham lagi, kini sektor pertanian telah berubah ke arah lebih moden dan sistematik berbeza dengan zaman dahulu. Jika dulu pertanian memerlukan tenaga fizikal yang tinggi menyebabkan ia hanya disertai golongan lelaki sahaja. Sebaliknya dengan adanya aspek pemodenan dalam pertanian, golongan wanita juga mampu menjalankan aktiviti tersebut.

Izham yang juga Pengerusi AMANAH Selangor ditemubual dalam slot Selamat Pagi Malaysia sempena Jelajah Madani Zon Tengah di Kuala Selangor pada ahad. Beliau menjelaskan Kerajaan Negeri Selangor telah melancarkan Pelan Transformasi Agro Selangor(PeTA) sebagai satu anjakan untuk pemodenan sektor pertanian di Selangor. Malah langkah tersebut dicetuskan agar masyarakat di kawasan bandar juga boleh menyertai sektor tersebut. Tambah Izham, kerajaan menekankan tiga aspek untuk mentransformasi sektor pertanian di Selangor. Antaranya teknik pengeluaran terhadap sektor pertanian yang diceburi, bimbingan untuk meningkatkan keupayaan sumber manusia dalam pertanian dan pendanaan. Kata beliau, ketiga-tiga aspek ini saling berkait dan menentukan kejayaan kepada sektor pertanian.

Sebelum ini Kerajaan negeri memperkenalkan PeTA sebagai garis panduan memajukan sektor pertanian secara menyeluruh dan sistematik. Inisiatif berkenaan bagi menjamin bekalan makanan rakyat selain meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan. Menekankan lima asas bagi jaminan bekalan makanan, dasar PeTA meliputi pertanian bernilai tinggi, pertanian moden, rantaian bekalan makanan lengkap, pembangunan agropreneur dan pelancongan agro. – SelangorToday

Exit mobile version