SelangorToday

IZHAM JAMIN PINTU DAN PAM AIR DI SELANGOR SENTIASA BERFUNGSI

Semua pintu dan pam air di negeri ini dipantau serta dipastikan berfungsi setiap masa untuk memastikan limpahan air hujan dapat disalur keluar bagi mengatasi kejadian banjir kilat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, pemantauan tersebut perlu dilakukan sentiasa melalui jawatan kuasa Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) berikutan banjir tidak semestinya berlaku pada musim tengkujuh.

“Jadi, projek tebatan banjir pun dipantau dan juga segala penyelenggaraan diperlukan untuk pintu air, longkang, parit, sungai dan semua kita buat (penyelenggaraan) dan sebagainya.

“Pam statik memang ada, kalau ada keperluan untuk mobile, kita ada lebih 20 pam untuk diletakkan di mana-mana yang berlaku limpahan air berlebihan, ia sentiasa ada berdekatan dengan pintu-pintu air.

“Jadi, kita akan alihkan (letakkan) untuk ditempatkan di lokasi-lokasi diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Pertanian dan Agogreen Selangor: ‘Membudayakan Inovasi, Memperkasa Sekuriti Makanan’.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi AMANAH Selngor turut memaklumkan projek tebatan banjir di negeri ini berjalan lancar selepas isu-isu berbangkit yang menghalang pelaksanaannya sudah diselesaikan dan terdapat sebahagiannya siap dibina.

“Progres projek tebatan banjir sekarang ada yang sedang berjalan, diberikan tender dan sebagainya tetapi kita memang memantau. Ada projek Kerajaan Persekutuan dan negeri, tak boleh berikan peratusan sebenar sebab progres setiap projek itu tidak sama.

Tetapi, semua dipantau dan sedang berjalan termasuklah di Taman Mutiara Bukit Raja, Klang (pembinaan kolam takungan air) yang sebelum ini ada isu tanah dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Itu pun alhamdulillah sudah bermula,” ujarnya.

Exit mobile version