Kerajaan Selangor meneliti beberapa cadangan bagi mengukuhkan tebing di laluan Batang Kali-Genting Highlands Seksyen 14, Hulu Selangor yang runtuh ekoran tragedi tanah runtuh pada 16 Disember tahun lalu.
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata langkah jangka panjang perlu diambil bagi mengelak insiden sama berulang di kawasan terbabit.
“Kita meneliti beberapa cadangan untuk kukuhkan tebing yang runtuh itu. Ada yang kata mahu buat tembok penahan, potong balik bukit dan buat baru.
“Semua cadangan itu kita sedang pertimbangkan dan akan buat keputusan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas meninjau tapak insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini semalam.
Laluan yang ditutup sejak 16 Disember dibuka semula pada 5 petang Sabtu lepas, namun membabitkan satu lorong dengan kawalan pihak berkuasa.
Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan laluan terbabit juga terhad kepada pekerja di kawasan Genting Highlands yang mempunyai surat pengesahan majikan selain kenderaan kelas satu (motokar, teksi dan kenderaan pelbagai guna) serta kenderaan kelas enam (motosikal dan skuter).
Mengulas lanjut, Ir Izham berkata pembukaan jalan itu memudahkan kira-kira 4,000 rakyat Selangor yang bekerja di pusat pelancongan itu untuk berulang-alik.
“Kita benarkan mereka berulang-alik pergi kerja, tetapi majikan perlu beri pengesahan sebab keadaan di sana agak membimbangkan lagi,” katanya.
Tanah runtuh yang berlaku pada jam 2.42 pagi di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya mengorbankan 31 nyawa manakala 61 selamat.